3 warga Jepun ditahan cuba seludup bunga ganja lebih RM4.2 juta

3 warga Jepun ditahan cuba seludup bunga ganja lebih RM4.2 juta

Pengarah Kastam KLIA Zulkifli Muhammad berkata bunga ganja itu disorok dalam bungkusan makanan kering dalam enam bagasi.

Pengarah Kastam KLIA Zulkifli Muhammad berkata tiga lelaki itu ditahan selepas beberapa bungkusan plastik mengandungi bunga ganja ditemui dalam enam bagasi mereka. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Cubaan tiga warga Jepun menyeludup dadah disyaki bunga ganja seberat 43.36kg bernilai lebih RM4.2 juta gagal, selepas ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 18 Nov lalu.

Pengarah Kastam KLIA, Zulkifli Muhammad, berkata penahanan tiga lelaki berumur 19 hingga 42 tahun itu dibuat selepas enam bagasi mereka diimbas dan pemeriksaan menemui beberapa bungkusan plastik mengandungi tumbuhan disyaki bunga ganja.

“Pemeriksaan mendapati bunga ganja itu disorok dalam bungkusan makanan kering dalam enam bagasi lelaki terbabit.

“Barang kes seterusnya diserahkan kepada Bahagian Penguatkuasaan Kastam KLIA untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebat tidak kurang 12 sebatan, sekiranya tidak dikenakan hukuman mati.

“Penyeludupan bukan saha merugikan negara dari segi ketirisan hasil, malah turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.”

Justeru, beliau menggesa orang ramai membantu memerangi jenayah penyeludupan dan tidak membabitkan diri dengan aktiviti itu serta menyalurkan maklumat berkaitan dengan menghubungi talian bebas tol kastam 1-800-88-8855 atau pejabat kastam terdekat di semua negeri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.