SPRM tahan Shamsul Iskandar

SPRM tahan Shamsul Iskandar

Pemimpin PKR itu ditahan ketika hadir di ibu pejabat SPRM di Putrajaya hari ini untuk beri keterangan berhubung dakwaan rasuah.

Shamsul Iskandar Akin letak jawatan sebagai setiausaha politik kanan perdana menteri pada Selasa, dengan alasan terdapat usaha menggunakan kontroversi tertentu untuk menyerangnya sehingga boleh menjejaskan imej kerajaan.
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan pemimpin PKR Shamsul Iskandar Akin bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan ahli perniagaan kontroversi, Albert Tei.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata Shamsul ditahan ketika beliau hadir di ibu pejabat SPRM di Putrajaya hari ini untuk memberi keterangan berhubung dakwaan bahawa beliau menerima rasuah daripada Tei.

Katanya, siasatan itu adalah berkait dakwaan Tei bahawa dia memberi rasuah kepada Shamsul untuk mendapatkan semula wang yang diberikan kepada Adun Sabah.

“SPRM menahan Shamsul di Pejabat SPRM hari ini pada 12.51 tengah hari bagi membantu siasatan. Beliau datang memberi keterangan kira-kira 12 tengah hari tadi,” katanya dalam satu kenyataan.

Azam berkata Tei ditahan di rumahnya pada 10.15 pagi hari ini, manakala seorang wanita bernama Sofia Rini Buyong, yang turut disiasat berhubung dakwaan Tei, ditahan pada 10.30 malam semalam ketika hadir ke ibu pejabat SPRM untuk membantu siasatan.

Tei sebelum ini mendakwa Sofia adalah proksi Shamsul, namun dinafikan wanita itu.

Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini membenarkan permohonan SPRM untuk mendapatkan perintah reman empat hari terhadap Sofia.

Menurut Azam, SPRM juga dijangka membuat permohonan reman terhadap Shamsul dan Tei di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi esok.

“SPRM akan menyiasat kes ini secara profesional dan adil berlandaskan lunas undang-undang.

“Mana-mana pihak yang mempertikaikan tindakan penahanan ketiga-tiga individu berkenaan mempunyai hak untuk mempertikaian di mahkamah,” katanya.

Katanya, beliau juga mengarahkan pegawai siasatan untuk melengkapkan siasatan dalam tempoh seminggu sebelum dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara supaya keputusan boleh dibuat secepat mungkin.

“Justeru itu saya menyeru semua pihak untuk bersabar dan jangan membuat spekulasi dalam kes ini,” katanya.

Tambahnya, Tei enggan memberi kerjasama dengan siasatan selepas dia enggan hadir hadir ke ibu pejabat SPRM untuk siasatan sebelum 1 Dis.

“Seperti semua sedia maklum, Tei adalah orang paling penting bagi membantu siasatan kes ini,” katanya.

Katanya, SPRM juga menyerahkan notis Seksyen 28 A (9) Kanun Prosedur Jenayah kepada Tei yang mana ia beri kuasa kepada pihak berkuasa yang menyiasat bagi menafikan hak tertuduh untuk berhubung dengan peguam dan mana-mana pihak lain.

Shamsul, yang juga ketua PKR Melaka, meletakkan jawatan sebagai setiausaha politik kanan perdana menteri pada Selasa selepas menyatakan bahawa terdapat usaha menggunakan kontroversi untuk menjatuhkan reputasinya dan imej kerajaan.

Tidak lama selepas peletakan jawatannya, Tei dipetik Malaysiakini sebagai berkata dia membelanjakan RM629,000 untuk kerja ubah suai, perabot dan peralatan untuk hartanah yang dikaitkan dengan Shamsul, serta barangan peribadi lain.

Tei juga berkongsi tangkap layar perbualan WhatsApp yang menunjukkan Shamsul didakwa meminta mata wang asing daripada ahli perniagaan itu sebelum melakukan perjalanan ke luar negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.