
Bercakap pada sidang media di Putrajaya, Fahmi berkata perkara itu belum dibangkitkan
“Kita perlu tunggu sehingga mesyuarat majlis pimpinan pusat yang akan datang diadakan,” katanya.
Shamsul yang juga ketua PKR Melaka, meletakkan jawatan sebagai setiausaha politik kepada Anwar Ibrahim selepas menyedari ada cuba menggunakan kontroversi itu untuk menyerangnya, yang boleh menjejaskan imej kerajaan.
Ahli perniagaan yang terpalit kontroversi, Albert Tei, mendakwa beliau telah membelanjakan lebih RM600,000 untuk Shamsul, termasuk membayar kos pengubahsuaian hartanah yang dikaitkan dengannya.
Selain membeli cerut premium dan sut tempahan khas, selepas kononnya diyakinkan bahawa beliau boleh mendapatkan kembali wang yang disalurkan kepada ahli politik di Sabah.
Tei turut berkongsi tangkap layar perbualan WhatsApp yang menunjukkan Shamsul didakwa pernah meminta mata wang asing sebelum ke luar negara.
Shamsul kemudiannya membuat laporan polis terhadap Tei. Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menyiasat dakwaan tersebut.
Fahmi, yang juga jurucakap kerajaan, berkata perdana menteri menegaskan bahawa tiada siapa yang kebal daripada undang-undang dalam kes melibatkan Shamsul.
“Beliau berkata tidak akan melindungi sesiapa daripada tindakan pihak berkuasa,” katanya.
Dalam perkembangan berasingan, Fahmi berkata Anwar mengecam serangan terhadap wartawan sukan, Haresh Deol.
“Apa yang berlaku kepada Haresh tidak sepatutnya berlaku kepada mana-mana wartawan, apatah lagi ketika mereka menjalankan tugas,” katanya.
Haresh diserang dua individu ketika hendak masuk ke dalam keretanya di Bangsar pada 25 Nov lalu.
Hari ini, seorang lelaki berusia 37 tahun mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas pertuduhan menyerangnya.