
Seorang pemimpin parti yang enggan namanya disiarkan berkata, PKR mampu menyumbang antara empat hingga lima kerusi. PKR mempertaruhkan calon di 10 kerusi.
Menurut sumber itu, parti yakin dapat menawan kerusi Sindumin, yang menyaksikan anak Yang Dipertua Negeri Sabah Musa Aman, Yamani Hafez, terlibat dalam pertandingan 10 penjuru.
Kerusi-kerusi lain yang dirasakan mampu dimenangi oleh PKR ialah Bandau (Zaidi Jatil), Api-Api (Thonny Chee) dan Melalap (Jamawi Jaafar).
“Kami rasa calon kami, Awang Husaini Sahari, ada peluang 50% untuk menang kerusi Petagas, mengambil kira ketidaktentuan dalam pertandingan pelbagai penjuru,” kata sumber itu kepada FMT. Petagas juga akan menyaksikan pertembungan 10 penjuru.
Pemimpin itu turut memberi amaran bahawa peratusan keluar mengundi, yang dijangka merosot kepada kira-kira 60% susulan ramalan cuaca buruk di Sabah, boleh menjejaskan keputusan pilihan raya dengan ketara.
Dalam keadaan sedemikian, ‘calon lemah’ (yang kekurangan sumber kewangan atau rangkaian akar umbi untuk menggerakkan pengundi) mungkin tidak beroleh kelebihan.
“Peratusan keluar mengundi yang rendah mungkin beri kelebihan kepada nama-nama besar atau mereka yang ada dana lebih kukuh untuk galak penyokong keluar mengundi,” kata sumber itu.
Awal hari ini, badan pemikir Ilham Centre menyatakan, terdapat angin perubahan yang ketara dalam kalangan pengundi Cina di kerusi seperti Likas, Inanam, Luyang, Kapayan dan Api-Api, yang kesemuanya disandang oleh PH sebelum ini.
Kekecewaan terhadap gabungan pemerintah berhubung isu ekonomi, kos sara hidup, dan rasuah telah menghakis sokongan pengundi, seperti yang dilihat menerusi sambutan yang kurang memberangsangkan terhadap acara kempen PH di kawasan bandar, berbanding PRN terdahulu.
“Jika gelombang protes ini semakin besar, PKR mungkin kehilangan Inanam dan Api-Api, manakala kerusi DAP di Likas, Luyang dan Kapayan akan berada dalam keadaan genting,” katanya menambah, PH hanya mempunyai empat kerusi yang selesa pada masa ini.