
Mengulas mengenai iktibar yang diambil daripada pergolakan politik di Malaysia, Vivian berkata, PAP yang sekian lama mentadbir Singapura, iaitu sejak 1959, pernah berasa selesa melihat dominasi berterusan Umno dan BN dalam landskap politik Malaysia sejak 1956.
“Kemudian, berlakulah peristiwa (pada) 2018. Kini tekanan beralih kepada PAP. Ia umpama menjadi kubu terakhir yang belum tewas,” katanya kepada wartawan Malaysia dalam sesi meja bulat media baru-baru ini.
“Ini bermakna setiap pilihan raya yang mendatang akan menjadi semakin sukar bagi kami.”
BN secara tradisinya mendominasi politik Malaysia. Bersama pendahulunya, Parti Perikatan, ia mentadbir negara secara berterusan selama hampir 61 tahun selepas kemerdekaan pada 1957.
Namun pada PRU14, Pakatan Harapan (PH) berjaya merampas kuasa dengan 121 kerusi Parlimen, manakala pegangan BN merosot drastik daripada 133 kepada 79 kerusi, selain kehilangan sebahagian besar kerajaan negeri.
Kehadirannya di Dewan Rakyat semakin lemah, dengan BN kini hanya memegang 30 kerusi susulan PRU 2022.
Sebaliknya, PAP tidak pernah tewas dalam sebarang pilihan raya sejak membentuk kerajaan pertama yang dipilih sepenuhnya di Singapura pada 1959.
Balakrishnan berkata, mana-mana parti politik yang memegang kuasa untuk tempoh yang lama cenderung berdepan dengan tiga ancaman ‘hidup mati’.
“Ancaman pertama dan terbesar terhadap kelangsungan sesebuah parti politik ialah rasuah. Lambat-laun, rasuah akan menghakis dan memusnahkan sokongan serta kredibiliti (parti). Kami sentiasa berwaspada terhadap ancaman tersebut,” katanya.
Menurut Balakrishnan, ancaman kedua iaitu ketidakcekapan, menjadi paling ketara semasa krisis, apabila sikap sambil lewa menguasai dan kerajaan gagal bertindak balas dengan berkesan.
Ancaman ketiga, katanya, adalah terputusnya hubungan dengan realiti. “Rakyat perhati kita dari jauh. Kita terpisah daripada rakyat dan akar umbi.”
Untuk terus bertahan, Balakrishnan menegaskan bahawa PAP mesti mengekalkan ‘ketaasuban’ terhadap akauntabiliti dan sentiasa mendekati pengundi.
“Kami perangi rasuah dengan keras. Kami tuntut standard kecekapan yang tinggi, dan apabila tersilap, kami akui, perbetul (kesilapan) dan lakukan penambahbaikan, kerana tiada siapa yang sempurna. Dan kami pastikan hubungan dengan rakyat sentiasa erat.
“Rakyat Singapura menuntut kejujuran dan integriti daripada pemimpin. Jika mereka tidak percayakan kita, tiada yang bermakna dapat kita kata atau lakukan. Jadi, integriti menjadi keutamaan tertinggi.”
Menyentuh mengenai sifat belas ihsan, Vivian berkata, rakyat mahu tahu mereka dipimpin oleh manusia sebenar yang mempunyai pendirian, rasa empati dan tujuan.
“Mereka mahu kenali kita sebagai seorang manusia. Ini tidak bermakna mereka akan setuju dengan semua yang kita katakan, malah mereka mungkin tidak sukakan kita,” katanya.
“Tetapi mereka mahu tahu bahawa wujud seorang manusia sebenar yang berpegang kepada sesuatu, mempunyai perasaan, berjiwa rakyat dan mahu berkhidmat (untuk mereka).”