Dapur Cakna MAIPs jadi barisan hadapan bantu mangsa banjir Perlis

Dapur Cakna MAIPs jadi barisan hadapan bantu mangsa banjir Perlis

Inisiatif berasaskan komuniti ini menggerakkan masjid dan rumah amil menyediakan makanan kepada mangsa banjir di seluruh negeri.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan melawat Program Dapur Cakna MAIPs. (Gambar Pejabat Raja Muda Perlis)
PETALING JAYA:
Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) memperkenalkan Dapur Cakna MAIPs sebagai inisiatif ‘first responder’ bagi membantu mangsa banjir.

Program itu membabitkan masjid dan rumah amil sebagai pusat penyediaan makanan, dengan sokongan jawatankuasa masjid serta kariah setempat, selain dibiayai menerusi peruntukan khas MAIPs.

Melalui program itu, sukarelawan masjid menyediakan sarapan pagi, makan tengah hari dan makan malam untuk mangsa di Pusat Penempatan Sementara (PPS) di seluruh negeri, bergantung kepada keperluan di setiap lokasi.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan meninjau pelaksanaannya di Masjid Al-Mursyid, Guring dan Rumah Amil Kampung Behor Mempelam dengan taklimat diberikan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs Mohd Nazim Mohd Noor.

Dalam titahnya, Tuanku Syed Faizuddin menegaskan aspek keselamatan dan kebersihan makanan tidak boleh dikompromi walaupun dalam keadaan krisis banjir.

Menurut baginda, langkah itu penting bagi memastikan kesihatan mangsa terus terpelihara dan mengelakkan risiko keracunan makanan, sekali gus menjamin keselamatan mereka di pusat penempatan sementara.

Baginda turut merakamkan penghargaan kepada semua kariah masjid dan sukarelawan yang terlibat membantu mangsa banjir.

“Semangat kesukarelawanan dan kebersamaan ditonjolkan bukan sahaja meringankan beban mangsa, malah mengukuhkan ukhwah serta memperlihatkan kekuatan komuniti ketika berdepan musibah,” titahnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.