
Bagaimanapun, Duta Besar Malaysia ke Indonesia Syed Mohamad Hasrin Tengku Hussin memaklumkan semua individu terjejas yang berada di sana lebih dua hari itu dilaporkan selamat.
“Pihak Konsulat Jeneral Malaysia di Medan (Malawakil Medan) sudah menghubungi semua individu yang terjejas bagi mendapatkan maklumat keadaan mereka dan mengesahkan semuanya selamat.
“Walaupun banjir mula surut, kita sentiasa berhubung rapat dengan pihak Malawakil Medan bagi memantau keadaan rakyat kita yang terjejas,” katanya ketika dihubungi, menurut Berita Harian.
Selain itu, beliau turut mengesahkan 119 pelajar Malaysia yang berdaftar dengan Malawakil Medan juga berada dalam keadaan selamat.
“Malawakil Medan masih memantau situasi dari semasa ke semasa keadaan di sana dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan selain bersiap siaga menyalurkan bantuan konsular jika diperlukan,” katanya.
Dalam pada itu, Malawakil Medan meminta rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular, termasuk panduan keselamatan, maklumat terkini atau bantuan kecemasan berkaitan situasi semasa bencana banjir dan tanah runtuh di Sumatera Utara, Sumatera Barat dan Aceh supaya menghubungi pegawai bertugas di konsulat di talian +62 823-6164-6046 atau menerusi emel rasmi [email protected]y.
Katanya, pegawai bertugas bersedia memberikan sokongan dan kerjasama pada bila-bila masa.
“Diharapkan rakyat Malaysia sentiasa peka dengan keadaan sekeliling, mengikuti arahan pihak berkuasa tempatan dan mengambil langkah keselamatan seperti mengelakkan kawasan banjir atau tanah runtuh,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, agensi bencana tempatan melaporkan hujan lebat sejak beberapa hari lalu mencetuskan banjir dan tanah runtuh selepas beberapa kawasan di wilayah itu terjejas.
Ia menyebabkan hampir 1,500 penduduk terpaksa berpindah.