
Baginda diiringi Raja Puan Muda Perlis Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta anakanda Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail dan Sharifah Farah Adriana Jamalullail.
Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Namda) Meor Ismail Meor Akim memberikan taklimat berhubung situasi bencana banjir.
Dalam lawatan itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyempurnakan agihan sumbangan daripada Syarikat Glide Group of Companies dengan kerjasama Yayasan Amal Tengku Hajah Budriah Perlis kepada mangsa-mangsa banjir.
Baginda juga menyantuni serta meluangkan masa bersama keluarga mangsa yang ditempatkan di PPS berkenaan bagi mendengar sendiri luahan dan keperluan mereka.
Sebelum itu, Raja Muda dan Raja Puan Muda Perlis turut berangkat melawat beberapa PPS lain termasuk di Sekolah Menengah Kebangsaan Tambun Tulang, Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kuala Perlis dan Sekolah Kebangsaan Panggau.
Dalam pada itu, Tuanku Syed Faizuddin menzahirkan rasa bangga terhadap kesepaduan dan komitmen semua pihak terlibat dalam melaksanakan operasi menyelamat serta penyaluran bantuan kepada mangsa banjir.
Baginda bertitah walaupun masih ada ruang penambahbaikan, tahap kecekapan ditunjukkan semua agensi setakat ini membantu mengelakkan sebarang insiden lebih buruk, khususnya melibatkan kehilangan nyawa.