
Terdahulu hari ini, Ketua Polis Brickfields Hoo Chang Hook memaklumkan polis menahan seorang lelaki dipercayai terlibat dengan serangan itu, mendakwa kejadian bermotifkan isu peribadi.
Haresh mengucapkan terima kasih kepada pihak polis atas sikap profesional menyiasat kes itu, namun tidak bersetuju dengan dakwaan berkenaan.
“Saya ingin bertanya: isu peribadi siapa di sini? Saya tegaskan saya tiada isu peribadi dengan sesiapa,” katanya dalam satu episod audio siar.
“Apa isu peribadi suspek dengan saya? Sebagai wartawan, saya sepatutnya menulis berita, bukan jadi tajuk berita.”
Akibat diserang dua lelaki di Bangsar petang semalam, Haresh cedera di wajah, tangan dan badannya.
Wartawan sukan itu, yang juga timbalan presiden Kelab Wartawan Kebangsaan, mengasaskan portal berita Twentytwo13 bersama Pearl Lee.
Terbaru, beliau memfokuskan laporan siasatan dalam arena sukan Malaysia, khususnya berkenaan isu pentadbiran termasuk skandal pemain warisan pasukan bola sepak negara.
Persatuan Bola Sepak Malaysia dalam kenyataan mengecam serangan itu, menegaskan ia menentang sebarang bentuk keganasan, ancaman atau ugutan terhadap sesiapapun termasuk wartawan ‘yang memainkan peranan penting dalam ekosistem sukan kebangsaan’.
Serangan itu turut dikecam beberapa organisasi, antaranya Persatuan Penulis Berbilang Bahasa (PEN Malaysia) yang menyifatkan kejadian itu sebagai cubaan menghalang laporan berhubung isu kepentingan awam.
Serangan itu disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.