Warisan bukan pejuang utama MA63, tuntutan 40%, kata Armizan

Warisan bukan pejuang utama MA63, tuntutan 40%, kata Armizan

Timbalan setiausaha agung GRS itu dakwa rekod pentadbiran Warisan membuktikan parti itu tidak konsisten dalam memperjuangkan hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963.

Armizan Mohd Ali
Armizan Mohd Ali berkata kes 40% hasil Sabah dibawa Persatuan Undang-Undang Sabah bukan Warisan.
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menolak dakwaan Warisan sebagai pejuang utama hak Sabah yang menjajanya sebagai naratif politik tanpa berlandaskan fakta.

Timbalan Setiausaha Agung GRS Armizan Mohd Ali berkata Warisan sering mendakwa sebagai pihak paling lantang memperjuangkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), namun rekod pentadbirannya dari 2018 hingga 2020 menunjukkan sikap hipokrit.

Menurutnya, dalam sidang DUN pada 7 Ogos 2019, Presiden Warisan Shafie Apdal yang menjadi ketua menteri ketika itu menyatakan pentadbirannya tidak mahu membawa isu tuntutan hak Sabah ke mahkamah kerana menganggap langkah tersebut ‘tidak elok’.

“Namun apabila Mahkamah Tinggi memihak kepada Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS) dan hak pemberian khas 40%, Warisan pula tampil seolah-olah merekalah pejuang utama,” katanya dalam video di Facebook.

Armizan berkata kes berkenaan bukan dibawa Warisan sebaliknya difailkan SLS dan pendirian kerajaan Warisan ketika itu jelas bercanggah dengan naratif mereka sekarang.

Mengulas dakwaan GRS mengkhianati perjuangan hak negeri, Armizan berkata kenyataan media SLS bertarikh 17 Okt jelas membuktikan sebaliknya apabila kerajaan Sabah diterajui GRS diiktiraf sebagai konsisten mempertahankan hak perlembagaan berhubung tuntutan 40% hasil negeri.

Katanya, sepanjang prosiding mahkamah, penghujahan oleh Pejabat Peguam Besar Sabah tidak bercanggah dengan hujahan SLS, malah membantu mengukuhkan kedudukan Sabah.

“Antara dibangkitkan kerajaan negeri ialah rekod peningkatan hasil persekutuan dari Sabah antara 1964 hingga 1968, ketiadaan rekod rundingan rasmi semakan special grant dari 1974 hingga 2021, serta pendirian 40% hasil itu adalah hak perlembagaan Sabah yang masih berkuat kuasa,” katanya.

Beliau menegaskan label GRS ‘pengkhianat’ tidak lebih daripada retorik politik untuk mengelirukan rakyat.

“Isu MA63 bukan soal siapa lebih hero, tetapi soal konsistensi dan keberanian bertindak berdasarkan undang-undang.

“Fakta menunjukkan GRS mempertahankan hak Sabah secara nyata, bukan sekadar retorik,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.