Wanita nafi proksi Shamsul Iskandar, sifatkan dakwaan Albert Tei ‘tohmahan’

Wanita nafi proksi Shamsul Iskandar, sifatkan dakwaan Albert Tei ‘tohmahan’

Sofia Rini Buyong menyifatkan dakwaan ahli perniagaan, Albert Tei, sebagai 'palsu dan tohmahan'.

Shamsul Iskandar and Albert Tei
Sofia Rini Buyong nafi dia proksi Shamsul Iskandar Mohd Akin (kiri), susulan dakwaan oleh Albert Tei (kanan).
PETALING JAYA:
Seorang wanita nafi dia adalah proksi kepada bekas setiausaha politik kepada perdana menteri, Shamsul Iskandar Mohd Akin, dan menyifatkan dakwaan itu sebagai ‘palsu dan tohmahan’.

Sofia Rini Buyong dalam satu video menyifatkan dakwaan ahli perniagaan, Albert Tei, sebagai ‘fitnah’.

Sofia Rini Buyong
Sofia Rini Buyong.

Katanya, dia ingin menjawab kenyataan yang dibuat oleh Tei, “yang telah buat rakaman video kononnya ada arahan daripada saya atau Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk beliau membuat rakaman mengenai beberapa ahli politik Sabah.”

“Saya menegaskan di sini bahawa saya bukan proksi kepada Shamsul,” menurut video itu.

Tei, yang merupakan watak utama dalam dakwaan skandal perlombongan Sabah, sedang dibicarakan atas dua pertuduhan memberi rasuah.

Satu video dirakam Tei menunjukkan seorang wanita yang mendakwa dirinya sebagai proksi kepada Shamsul.

Wanita itu mendakwa perdana menteri memberi lampu hijau kepada Tei untuk merakam perbualannya dengan beberapa ahli politik Sabah, termasuk menteri negeri dan Adun, berhubung lesen penerokaan mineral di negeri Borneo itu.

Tei turut mendakwa bahawa beliau membelanjakan RM629,000 untuk Shamsul, termasuk kerja ubah suai ke atas beberapa hartanah yang dikaitkan dengan pemimpin PKR itu, selain cerut premium dan sut khas, menurut Malaysiakini.

Sementara itu, Sofia berkata dia tidak pernah berjumpa dan mengadakan sebarang perbincangan dengan Anwar berhubung dakwaan yang dibuat oleh Tei.

“Saya juga tidak pernah mengadakan sebarang perbincangan dengan Shamsul berhubung dengan tindakan yang Tei lakukan berhubung dengan proses permohonan beliau untuk mendapatkan lesen perlombongan,” katanya.

Menurut wanita ini, kehadirannya di pejabat Tei adalah dirancang oleh ahli perniagaan itu, dan rakaman dibuat tanpa pengetahuannnya.

“Saya juga menegaskan bahawa perjumpaan saya dengan Tei tersebut sebenarnya berdurasi lebih daripada satu jam.

“Sepanjang perjumpaan tersebut, Tei berkali-kali mengulangi naratifnya dan beliau telah berkali-kali mendorong saya untuk mengesahkan naratif beliau,” katanya.

Katanya lagi, dakwaan bahawa sejumlah wang yang diberikan Tei, atas alasan Shamsul boleh meyakinkan untuk mendapatkan kembali wang yang disalurkan kepada ahli-ahli politik di Sabah berkaitan lesen melombong, adalah suatu pembohongan.

“Tidak pernah ada perbincangan antara Tei, saya, dan Shamsul berhubung dengan perkara tersebut,” katanya.

Sofia berkata dia telah meminta nasihat guaman.

“Saya meminta polis untuk membuat siasatan bawah Seksyen 499 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia terhadap Tei dan dalang di belakangnya,” katanya.

Shamsul, yang semalam meletakkan jawatan sebagai setiausaha politik kepada Anwar, membuat laporan polis terhadap Tei, hari ini, selepas ahli perniagaan itu menuduh beliau mempunyai kaitan dengan Anwar.

Anwar menegaskan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bebas menjalankan siasatan segera terhadap tuduhan itu, tanpa sebarang campur tangan luar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.