
Bekas menteri luar itu mengingatkan bahawa Bongawan berisiko terus ‘stagnant (tiada kemajuan) lima tahun lagi’ jika pengundi memilih calon yang terlalu bergantung pada sokongan Putrajaya.
“Bongawan perlukan pemimpin yang bersuara untuk Sabah dulu, bukan yang tunggu kelulusan kerajaan persekutuan,” menurut kenyataan.
Anifah berkata beliau konsisten memperjuangkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan tuntutan 40% hasil Sabah, termasuk mencabar kerajaan persekutuan apabila hak Sabah itu diketepikan.
Kenyataan ini muncul ketika calon Barisan Nasional (BN), Mohamad Alamin, berdepan kritikan kerana didakwa kurang bebas bertindak akibat disiplin parti dan tanggungjawab sebagai timbalan menteri.
“Jika sebagai Ahli Parlimen dan timbalan menteri pun beliau tidak mampu menekan kerajaan persekutuan dalam isu hak Sabah, bagaimana beliau mahu lakukannya sebagai Adun tanpa jawatan Kabinet?” soal Anifah.
“Bongawan tidak mampu lagi mempunyai Adun separuh masa.”
Anifah menegaskan Bongawan, yang berada dalam koridor pertumbuhan selatan Sabah, memerlukan wakil rakyat yang berpengaruh untuk mendapatkan projek besar dan berunding terus dengan kerajaan negeri serta persekutuan.
“Bongawan perlukan lonjakan, bukan kitaran projek kecil dan janji tertangguh,” katanya. “Kalau mahu perubahan sebenar, pilih pemimpin yang berani menuntutnya.”
Anifah mencabar Daud Yusof (Warisan) yang akan mempertahankan Bongawan.
Calon lain Mohamad Alamin (Barisan Nasional), Dolores Michael (STAR) Ridzuan Firdaus (Perikatan Nasional), Royston Adven (Parti Impian Sabah), Md Haris Md Tahir (bebas), Peter Matinjal (KDM) serta Hussin Dasar Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS).