
Ketua Polis Negara Khalid Ismail berkata, komitmen itu selaras dengan keputusan Mahkamah Tinggi Ipoh pada 21 Nov lalu yang memerintahkan polis memperluas pencarian Muhammad Riduan Abdullah, yang didakwa gagal menyerahkan anak perempuan bongsunya kepada Indira.
“Usaha mengesan Muhammad Riduan masih giat dilaksanakan, termasuk siasatan lanjut terhadap dakwaan kewujudan individu yang disyaki menggunakan identiti tersebut bagi menerima pelbagai bentuk bantuan kerajaan seperti BUDI5 dan SARA.
“Dalam masa yang sama, semakan turut dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Imigresen bagi mengesahkan status sekatan perjalanan khas yang masih berkuat kuasa terhadap individu berkenaan,” katanya dalam kenyataan.
Khalid menegaskan, setiap tindakan diambil dalam mengendalikan kes ini dilaksanakan secara profesional, telus dan berintegriti demi memastikan keadilan ditegakkan mengikut lunas undang-undang.
Beliau turut menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi sehingga menjejaskan proses siasatan.
Pada 22 Nov, Indira bersama lebih 100 individu berarak dari pusat beli-belah Sogo ke Bukit Aman bagi mendesak polis mengesan anak perempuan Indira sebelum menunggu di luar Bukit Aman hampir tiga jam.
Antara yang hadir pada perhimpunan itu termasuk Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) M Kulasegaran, bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim, bekas pengerusi Bersih Ambiga Sreenevasan dan aktivis sosial Marina Mahathir.
Indira ketika itu berkata, beliau tidak akan berhenti berjuang untuk mendapatkan kembali anaknya, Prasana Diksa, yang didakwa dilarikan oleh Riduan 16 tahun lepas.