Mahkamah Syariah keluar waran tangkap ke atas pengasas eHati, kaunselor

Mahkamah Syariah keluar waran tangkap ke atas pengasas eHati, kaunselor

Hakim Syarie Zainal Abidin Kusmin mengeluarkan waran tangkap terhadap Nur Diyanah Md Tahir dan Zatul Asmah Mat Isa.

shah alam court
Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam memerintahkan carian imigresen ke atas pengasas program eHati dan membenarkan penahanan kaunselor itu yang gagal hadir pertuduhan kes tanpa sebab.
PETALING JAYA:
Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam mengeluarkan waran tangkap terhadap pengasas program motivasi rumah tangga eHati dan seorang kaunselor atas kegagalan menghadiri pertuduhan kes tanpa sebab.

Hakim Syarie Zainal Abidin Kusmin mengeluarkan waran tangkap terhadap Nur Diyanah Md Tahir dan Zatul Asmah Mat Isa berdasarkan permohonan pihak pendakwaan.

Mahkamah turut memerintahkan carian imigresen ke atas wanita itu yang beralamat di Damansara.

Hakim Syarie turut memberi kuasa kepada pihak penguat kuasa Jabatan Agama Islam menahan kaunselor yang juga pegawai pihak berkuasa tempatan (PBT) di utara Semenanjung, beralamat di Nibong Tebal, Pulau Pinang.

Mereka berdua didakwa mengikut Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.

Terdahulu, penjamin Nur Diyanah yang hadir ke mahkamah memaklumkan tidak tahu di mana rakannya berada.

“Saya sudah lama tidak berhubung dengannya dan tidak tahu di mana dia berada sekarang. Saya mengenalinya sejak 2021 dan jadi penjamin sebab kasihan tiada ahli keluarganya datang.

“Saya minta maaf kerana tidak tahu sebagai penjamin perlu memastikan kehadirannya,” katanya menurut Harian Metro.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 5 Mac depan.

Pada 14 Nov lalu, Ketua Polis Selangor, Shazeli Kahar dilaporkan berkata, dua suspek yang juga pasangan suami isteri itu dipercayai melarikan diri ke luar negara sehari sebelum pertuduhan pada 13 Okt lalu.

Polis memanggil 95 individu memberi keterangan berhubung penganjuran motivasi rumah tangga di sebuah pusat konvensyen di Seksyen 15 Shah Alam pada September 2024.

Siasatan polis mendapati terdapat adegan bogel dalam acara Queen’s Night dalam penganjuran itu membabitkan empat individu yang menjadi fasilitator program berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.