Bekas pengerusi JPKK mengaku tak salah pecah amanah RM40,000

Bekas pengerusi JPKK mengaku tak salah pecah amanah RM40,000

Tertuduh didakwa salah guna wang tunai RM40,000 yang diamanahkan wakil sebuah syarikat pembalakan bagi tujuan pembayaran kepada JPKK Mat Daling selaras perjanjian pembalakan.

Mahkamah Majistret Kuantan
Mahkamah Sesyen Kuantan membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 berserta syarat tambahan yang dimohon pihak pendakwaan. (Gambar Facebook)
KUANTAN:
Bekas pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Mat Daling di Jerantut dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan pecah amanah berjumlah RM40,000.

Mohamed Sahimi Wan Ishak, 63, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di depan Hakim Sazlina Safie.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menyalahgunakan wang tunai berjumlah RM40,000 yang diamanahkan wakil sebuah syarikat pembalakan bagi tujuan pembayaran kepada JPKK Mat Daling selaras perjanjian pembalakan.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah firma guaman dan pejabat syarikat pembalakan di Jerantut pada 7 Julai 2022 dan 18 April 2023 mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ezuain Farhana Ahmad menawarkan jaminan RM10,000 berserta syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah, melaporkan diri di pejabat SPRM terdekat setiap bulan dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Ahmad Syamsul Akmar Yusof yang mewakili tertuduh memohon jaminan lebih rendah atas alasan anak guamnya bekerja sebagai penoreh getah dengan pendapatan RM800 hingga RM1,000 sebulan dan menanggung isteri berusia 61 tahun.

Mahkamah membenarkan Sahimi diikat jamin RM5,000 berserta syarat tambahan yang dimohon pihak pendakwaan dan menetapkan sebutan semula kes pada 13 Jan depan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.