
Air banjir mencecah setinggi 2m di beberapa kawasan melanda sembilan wilayah di Thailand dan lapan negeri di Malaysia yang bersempadan, merentasi kawasan ratusan kilometer yang dilanda banjir monsun bermusim tahun lepas, meragut 12 nyawa.
Tentera laut Thailand berkata, pihaknya sedang bersedia menghantar armada 14 buah bot dan kapal pengangkut pesawat, Chakri Naruebet, diiringi helikopter, doktor, bekalan dan dapur lapangan yang mampu menyediakan 3,000 hidangan sehari.
“Armada sudah bersedia menghantar pasukan dan melaksanakan tindakan seperti yang diarahkan oleh tentera laut,” katanya dalam kenyataan, menambah bahawa kapal pengangkut itu juga boleh berfungsi sebagai hospital terapung.
Dianggarkan 1.9 juta orang terjejas di Thailand, di mana agensi meteorologi meramalkan hujan lebat berterusan dan banjir kilat pada Selasa, serta memberi amaran kepada bot-bot kecil supaya kekal di darat untuk mengelak ombak setinggi lebih 3m.
“Ribuan panggilan masuk tak henti-henti sejak tiga hari lepas, (daripada mangsa yang) memohon dipindahkan, manakala yang lain meminta makanan,” kata seorang ahli kumpulan sukarelawan Pusat Penyelamat Matchima di bandar Hat Yai, yang paling terjejas.
Pusat perdagangan getah itu merupakan bandar kelima terbesar Thailand, di mana pihak berkuasa telah mengarahkan penduduk berpindah selepas hujan berhari-hari, yang menurut Perdana Menteri Anutin Charnvirakul, membawa banjir terburuk dalam tempoh 15 tahun.
Tiada telefon, beras atau air minuman
“Kami berlima dengan seorang anak kecil tanpa (bekalan) beras dan air. Talian telefon terputus, air naik semakin pantas,” catat pengguna Facebook The Hong Tep dalam rayuan bantuan di laman kumpulan Matchima.
Hat Yai, yang juga popular dikunjungi rakyat Malaysia, dilimpahi 335mm hujan pada Jumaat, paras harian tertinggi dalam tempoh tiga abad.
Disiarkan di televisyen imej air berwarna perang deras mengalir melalui jalan-jalan komersial, manakala penduduk merentas air dalam dengan berpaut pada kotak polistirena terapung ketika bot getah memindahkan mangsa lain yang memakai jaket keselamatan.
Air banjir menenggelamkan kereta dan mengalir mengelilingi sebuah trak bomba yang terbiar di jalan.
Di Malaysia, lebih 18,500 orang berpindah dari kawasan banjir ke 126 pusat pemindahan yang kebanyakannya terletak di kawasan sempadan utara.
Di Perlis, pasukan penyelamat meredah air setinggi paras lutut untuk memasuki rumah-rumah, manakala bot penyelamat membawa warga emas ke tempat selamat, menurut gambar dari jabatan bomba negeri itu.
Masa yang sukar dan mencabar
Pasukan penyelamat yang dihantar ke Kelantan, negeri paling teruk terjejas di sempadan Thailand, mungkin akan dikerah ke negeri-negeri lain jika perlu, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim di Facebook.
“Keselamatan keluarga mesti jadi keutamaan,” katanya, mengarahkan pihak berkuasa memberikan sokongan maksimum kepada komuniti yang terjejas, yang turut diminta mematuhi arahan berpindah.
“Dalam masa yang sukar dan mencabar ini, saya doakan agar semua mangsa banjir diberikan kekuatan, ketabahan, dan dilindungi daripada sebarang bahaya.”
Banjir ini boleh mencetuskan gangguan dalam industri getah Thailand, antara pengeluar dan pengeksport komoditi terbesar dunia, dengan agensi getah kerajaan menganggarkan hujan boleh mengurangkan pengeluaran sebanyak kira-kira 10,300 tan.
Hantaran daripada orang ramai yang terkandas dan terdesak memerlukan bantuan mencecah ribuan di laman Facebook kumpulan penyelamat Matchima di Hat Yai.
“Air sudah berada di tingkat dua sekarang,” tulis salah seorang daripada mereka, Pingojung Ping, yang memaklumkan bahawa lima orang lain turut terperangkap, antaranya warga emas.
“(Kami) berdoa. Minta (tolong) bantu.”