
Hakim Loke Yee Ching bersetuju menyampaikan keputusan lebih awal susulan permohonan peguam mewakili Najib, yang sedang menjalani hukuman penjara enam tahun.
Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan tidak membantah permohonan tersebut, semasa pengurusan kes.
Dalam permohonannya, peguam cara Najib iaitu Shafee & Co menyatakan anak guam mereka terpaksa menanggung proses mahkamah yang berpanjangan, menegaskan bahawa hampir dua tahun telah berlalu sejak titah adendum dikeluarkan, iaitu pada awal 2024.
Katanya, penahanan berpanjangan menyebabkan anak guam berusia 72 tahun itu mengalami tekanan, trauma, dan kemerosotan kesejahteraan, maka mereka memohon keputusan disampaikan lebih awal.
“Kami seterusnya merujuk kepada pemerhatian Hakim Besar Malaya Hasnah Hashim yang mempengerusikan rayuan Mahkamah Persekutuan pada 13 Ogos, menekankan kesegeraan untuk menyelesaikan perkara ini.”
Najib disabitkan bersalah kerana menggelapkan dana SRC International Sdn Bhd sebanyak RM42 juta, dan sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022.
Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan mengurangkan tempoh pemenjaraan daripada 12 tahun kepada enam tahun, dan mengurangkan denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Semakan kehakiman difailkan tahun lalu untuk memaksa kerajaan melaksanakan titah adendum untuk menempatkan Najib bawah tahanan rumah.
Najib mendakwa titah adendum itu tidak diumumkan oleh lembaga pengampunan, dan kerajaan menghina mahkamah kerana tidak melaksanakannya.
Pada 2 Julai tahun lalu, Mahkamah Tinggi menolak kebenaran Najib untuk mengemukakan keterangan tambahan, memutuskan bahawa afidavit sokongan adalah dengar cakap.
Najib kemudian merayu kepada Mahkamah Rayuan, dan sebelum perbicaraan, anaknya iaitu Nizar memfailkan afidavit menyokong usaha bapanya untuk mengemukakan titah adendum itu sebagai keterangan baharu.
Pada 6 Januari tahun ini, Mahkamah Rayuan, dengan majoriti 2-1, membenarkan titah adendum itu dimasukkan sebagai keterangan dan memberikan kebenaran kepada Najib untuk meneruskan prosiding semakan kehakiman.
Pada 13 Ogos, Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan majoriti Mahkamah Rayuan.