Shamsul letak jawatan setiausaha politik kanan PM

Shamsul letak jawatan setiausaha politik kanan PM

Dalam hantaran di X Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata beliau serah surat peletakan jawatan kepada Anwar Ibrahim pagi tadi.

Shamsul Iskandar Mohd Akin sebelum ini terpalit kontroversi surat sokongan.
PETALING JAYA:
Shamsul Iskandar Mohd Akin meletak jawatan sebagai setiausaha politik kanan kepada perdana menteri.

Dalam hantaran di X, Shamsul berkata beliau menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Anwar Ibrahim pagi tadi.

“Saya difahamkan ada percubaan untuk menyerang saya dengan perkara yang boleh merosakkan imej kerajaan Madani.

“Justeru, saya mengambil keputusan untuk mempertahankan diri saya daripada serangan ini,” katanya, namun tidak mengulas lanjut sebab peletakan jawatan itu.

Shamsul sebelum ini terpalit kontroversi pengeluaran surat sokongan bagi kontraktor dalam sebuah projek hospital.

Jumaat lalu, Anwar Ibrahim mempertahankan keputusannya tidak memecat Shamsul berhubung isu tersebut dengan berkata, sebarang tindakan perlu berasaskan keseriusan kesalahannya.

Anwar berkata demikian bagi menjawab kenyataan Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli, yang menyarankan beliau bukan sekadar menegur, tetapi memecat Shamsul untuk membuktikan komitmennya memerangi rasuah.

Media sebelum ini melaporkan Anwar memberitahu Dewan Rakyat, beliau menegur setiausaha politiknya itu kerana peraturan kerajaan tidak membenarkan pengeluaran surat sokongan sedemikian.

Shamsul yang juga bekas ketua penerangan PKR dilantik sebagai setiausaha politik kanan kepada perdana menteri pada Disember 2022.

Dalam hantaran itu, Shamsul yang juga ketua PKR Hang Tuah Jaya mengucapkan terima kasih kepada perdana menteri atas kepercayaan diberikan kepadanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.