
MCA Sabah sentiasa merangka haluan sendiri, dipandu kepimpinan tempatan berasaskan realiti masyarakat Sabah, kata Ketua Wanita MCA Sabah Dr Pamela Yong.
Beliau berkata, parti negeri itu mempunyai sejarah panjang dalam Barisan Nasional (BN) dan telah berkembang, menghadapi cabaran, serta membangun semula bersama rakan kongsi dari Sabah. “Calon kami adalah anak jati Sabah, kepimpinan kami anak jati Sabah, dan agenda kami adalah untuk Sabah,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata MCA Sabah mempunyai satu lagi kelebihan berbanding parti tempatan: ia bukan orang luar kepada kerajaan persekutuan, yang mana ia amat penting apabila melibatkan projek pembangunan besar.
Yong berkata, timbul keperluan mengiktiraf hakikat majoriti inisiatif sedemikian memerlukan kerjasama kukuh dengan persekutuan.
Beliau berkata, projek berasaskan infrastruktur, seperti jalan raya, pelabuhan, insentif perindustrian, koridor pelancongan, dan pelaburan asing bergantung kepada perancangan fiskal negara dan dasar ekonomi luar Malaysia.
Katanya, MCA Sabah mempunyai keabsahan tempatan yang disokong pengaruh nasional – sesuatu yang tidak dapat ditawarkan mana-mana parti berasaskan negeri semata-mata.
Pandangan Yong mengenai hubungan antara kerajaan negeri dan persekutuan mencerminkan pandangan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Hajiji Noor, yang menyeru hubungan negeri-persekutuan kekal bebas daripada pergeseran, memberi amaran hubungan tegang akhirnya akan merugikan rakyat Sabah.
Mengulas kempen MCA Sabah bagi PRN sedang berjalan, Yong berkata parti itu menumpukan kepada isu tempatan seperti merapatkan jurang infrastruktur, menambah baik akses pendidikan, dan meningkatkan peluang ekonomi setempat, serta isu nasional seperti hak 40% hasil negeri.
Parti itu akan mengambil pendekatan bersungguh demi memikat pengundi. “Politik kami berasaskan perkhidmatan, bukan sandiwara. Kami menyelesaikan masalah melalui perundingan, bukan slogan atau drama media sosial,” katanya.
MCA Sabah bertanding di dua kerusi – Tanjung Kapor menerusi calonnya yang juga ketua bahagian Kudat, Kevin Lee, dan Chin Kim Hiung di Karamunting.
Yong menyifatkan mereka sebagai progresif, berpendidikan, berpijak di bumi nyata, selain aktif dalam NGO, inisiatif sivik, kerja kebajikan, dan program pembangunan komuniti.
“Calon-calon kami bukanlah mereka yang keluar sana sini atau oportunis. Kami menampilkan calon mendapat tempat melalui kerja dan kehadiran sebenar di lapangan,” katanya.
Katanya, calon MCA berbeza daripada sesetengah ‘YB’ dari parti tempatan yang melompat parti selepas dipilih atas alasan demi kepentingan rakyat.
Yong mendedahkan bahawa beliau diberitahu secara peribadi oleh satu parti tempatan bahawa mereka ‘tidak mampu untuk berada dalam pembangkang’ sebagai mewajarkan tindakan melompat parti.
“Tetapi, bagaimana dengan rakyat? Bolehkah parti ini yang boleh goyah begitu mudah, boleh dipercayai untuk memperjuangkan rakyat?”