Cerun 10m runtuh di Jalan Klang Lama

Cerun 10m runtuh di Jalan Klang Lama

Kawasan kejadian di Lorong Jugra Dalam terletak kira-kira 4km dari lokasi tanah runtuh pertama di Taman United pagi tadi.

Sri Lempah landslide
Kejadian petang tadi tadi melibatkan cerun setinggi 10m bersebelahan Blok D Flat Sri Lempah di Lorong Jugra Dalam, menyebabkan sebuah kereta diletakkan berhampiran turut rosak. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Satu lagi kejadian cerun runtuh dikesan berlaku di Lorong Jugra Dalam petang ini, iaitu kira-kira 4km dari lokasi tanah runtuh pertama di Taman United, Jalan Klang Lama.

Kejadian kira-kira 4 petang itu melibatkan cerun setinggi 10m bersebelahan Blok D Flat Sri Lempah, menyebabkan sebuah kereta yang diletakkan berhampiran turut rosak, lapor Bernama.

Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Sri Petaling turut didapati berada di lokasi kejadian bagi memantau keadaan sebelum tindakan lanjut dilakukan.

Dilaporkan pagi tadi, penghuni dua blok pangsapuri melibatkan 104 unit rumah di Taman United, Seputeh, diarahkan mengosongkan kediaman susulan kejadian cerun sepanjang 60m runtuh menimpa dua kereta serta beberapa motosikal.

Selain itu, 2 kejadian tanah runtuh lain serta tiga insiden pokok tumbang turut dilaporkan di sekitar ibu negara susulan hujan lebat berterusan sejak semalam.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Kuala Lumpur memaklumkan, tiga kejadian pokok tumbang berlaku di Jalan Ang Seng 4, Brickfields pada 9.24 pagi; Jalan Langgak Golf, Taman U Thant pada 11.10 pagi; dan di Jalan Kiara 5, Desa Kiaramas pada 5.45 petang.

Selain kejadian di Taman United dan Lorong Jugra Dalam, tanah runtuh turut dilaporkan berlaku di Jalan Maarof, Bangsar pada 11.20 pagi serta Jalan Medang Tanduk, Bukit Bandaraya pada 3.24 petang.

“Semua lokasi telah dihadiri pasukan bomba yang menjalankan kerja-kerja pemantauan dan penyelamatan dengan bantuan Unit Kecemasan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL),” kata pihak bomba dalam kenyataan.

“Pasukan bomba masih berada di lokasi memerlukan pemantauan dan sentiasa bersiap sedia sekiranya berlaku sebarang kejadian kecemasan yang memerlukan tindakan lanjut.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.