
Beliau berkata, tanggapan salah itu akibat pemimpin PKR dari Semenanjung membesar-besarkan kelayakan Thonny Chee dalam aktiviti kempen lalu.
“Chee tak pernah mendakwa dirinya peguam. Beliau ambil jurusan undang-undang di universiti, tetapi tidak praktiknya. Salah faham itu mungkin timbul daripada beberapa pemimpin yang memperkenalkannya sebagai peguam semasa berkempen,” katanya menurut The Borneo Post.
Ketua PKR Sabah itu berkata, Chee ditapis sebelum dinamakan calon dan ramai graduan undang-undang tidak meneruskan kerjaya sebagai peguam selepas tamat pengajian.
Chee bertanding di kerusi Parlimen Kudat pada PRU 2022 tetapi tewas pertandingan lima penjuru.
Calon bebas, Verdon Bahanda memenangi kerusi itu dengan majoriti 1,967 undi mengetepikan pencabar terdekatnya, Ruddy Awah dari Gabungan Rakyat Sabah.
Kali ini, Chee berdepan pertandingan lima penjuru di kerusi Api-Api yang dimenangi PKR sejak 2013.
Bekas ketua PKR Sabah, Christina Liew, julung kali memenangi kerusi itu pada 2013 dan mempertahankannya selama dua penggal lagi, tetapi bekas timbalan ketua menteri itu digugurkan PKR dalam PRN kali ini.