
Chia Kian Keow, 49, didakwa melakukan perbuatan itu terhadap mangsa yang ketika kejadian berumur 14 tahun tujuh bulan serta 15 tahun tiga bulan di sebuah pusat latihan wusyu di Batu Caves pada 5.30 petang 16 Mei 2021 dan sekitar Mac 2022.
Dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017, dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan boleh disebat, manakala Seksyen 16(1) membawa hukuman maksimum penjara lima tahun dan minimum dua sebatan, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Hairuliqram Hairuddin memohon jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan serta syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali.
Beliau turut memohon mahkamah mengarahkan tertuduh tidak mengganggu mangsa dan saksi, serta menyerahkan dokumen perjalanan kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Peguam Sivahnanthan Ragava yang mewakili tertuduh memohon jaminan RM15,000 bagi dua pertuduhan kerana anak guamnya menghidap penyakit darah tinggi dan kolestrol, selain perlu menanggung ibunya yang uzur serta memerlukan rawatan hospital.
“Tertuduh akur dengan arahan polis untuk hadir ke mahkamah serta berjanji akan hadir setiap kali sebutan kes dan tidak akan mengganggu mangsa serta saksi.”
Hakim Norshila Kamarudin membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan berserta syarat tambahan dimohon pendakwaan.
Beliau menetapkan sebutan kes pada 24 Dis ini.