
Hakim Loke Yee Ching menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan daripada kedua-dua pihak hari ini, menyatakan bahawa keputusan akan disampaikan pada 8 pagi.
Prosiding tersebut berkaitan dengan titah adendum yang didakwa diperkenan Yang di-Pertuan Agong terdahulu, membenarkan Najib menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah.
Najib disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd dan menjalani hukuman di penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022.
Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan kemudiannya mengurangkan separuh hukuman penjaranya daripada 12 tahun kepada enam tahun, serta mengurangkan denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Semakan kehakiman difailkan tahun lepas bagi mendesak kerajaan melaksanakan titah adendum tersebut.
Najib mendakwa, titah adendum itu tidak diumumkan oleh Lembaga Pengampunan, dan kerajaan dianggap menghina mahkamah kerana tidak melaksanakannya.
Terdahulu, peguam utama Najib, Shafee Abdullah, berhujah bahawa Agong tidak terikat mengikuti nasihat Lembaga Pengampunan dan baginda boleh mengeluarkan titah sendiri berhubung petisyen pengampunan.
Beliau menegaskan, kekeliruan yang telah lama wujud dalam kalangan peguam berpunca daripada salah tafsir frasa ‘preside over’ dalam Perkara 42(8) Perlembagaan Persekutuan.
Peruntukan tersebut menyatakan bahawa Lembaga Pengampunan hendaklah bermesyuarat dengan kehadiran Agong, yang hendaklah ‘preside over’.
Shafee memberitahu mahkamah, istilah ‘preside over’ diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu sebagai ‘mempengerusikan’, yang menurutnya tidak tepat.
“Salah untuk mengatakan Agong ‘mempengerusikan’. (Baginda) bukanlah sebahagian daripada Lembaga Pengampunan,” katanya.
Beliau berhujah, istilah ‘preside over’ bermaksud ‘berada di atas’ lembaga tersebut dan akan mempertimbangkan cadangannya sebelum membuat keputusan.
Menurutnya, istilah Bahasa Melayu yang lebih tepat ialah ‘bersidang’, membandingkannya dengan cara seorang hakim bersidang dalam sesuatu perbicaraan, bukannya bertindak mempengerusikannya.
Kegagalan memahami perkara ini membawa kepada salah tafsir bahawa Agong mesti mencapai keputusan mengenai petisyen pengampunan secara bersama dengan lembaga tersebut, katanya.
Shafee berkata, Agong berhak membentuk pandangan bebas tanpa mengira hujah atau syor lembaga itu.
“Di mana terbatasnya keadilan, di situlah mulanya belas kasihan. Belas kasihan boleh mengambil kira perkara-perkara di luar batasan keadilan dan apa yang boleh diterima di mahkamah,” katanya.
Kandungan titah adendum tidak dibincang
Terdahulu Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan memberitahu mahkamah, menurut minit mesyuarat, hanya satu keputusan dibuat pada mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-61, iaitu berkenaan titah Agong mengurangkan separuh tempoh hukuman penjara Najib.
Beliau berkata, kandungan titah adendum tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat tersebut.
“Berdasarkan Perkara 42(1) yang dibaca bersama Perkara 42(8), sebarang keputusan Agong berhubung permohonan pengampunan di Wilayah Persekutuan mestilah diputuskan oleh baginda menerusi Lembaga Pengampunan dalam mesyuarat yang baginda sendiri pengerusikan,” katanya.
Beliau berhujah, jika tahanan rumah sememangya diniatkan, perkara itu sepatutnya dibincangkan dan diselesaikan dalam mesyuarat yang dihadiri oleh Agong.
“Bagaimanapun, titah adendum tersebut tidak diputuskan semasa mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-61, dan pengeluarannya di luar kerangka prosedur yang ditetapkan menimbulkan persoalan mengenai kesahihannya di sisi Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Najib memfailkan kebenaran semakan kehakiman April lepas, bergantung pada afidavit yang difailkan oleh Presiden Umno Zahid Hamidi dan Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail, berdasarkan salinan titah adendum yang didakwa dilihat mereka dalam telefon bimbit Tengku Zafrul Aziz.
Pada 2 Julai tahun lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Amarjeet Singh menolak permohonan Najib untuk mengemukakan keterangan tambahan, memutuskan bahawa afidavit sokongan tersebut adalah khabar angin (hearsay).
Najib kemudian merayu ke Mahkamah Rayuan, dan sejurus sebelum ia didengar, anaknya Nizar memfailkan afidavit menyokong permohonan bapanya untuk memasukkan titah adendum itu sebagai keterangan baharu.
Pada 6 Jan tahun ini, Mahkamah Rayuan menerusi keputusan majoriti 2-1 membenarkan titah adendum itu dimasukkan sebagai keterangan serta memberi kebenaran kepada bekas perdana menteri itu untuk meneruskan prosiding semakan kehakiman.
Pada 13 Ogos, Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan majoriti Mahkamah Rayuan itu.
Najib kini sedang menjalani hukuman penjara enam tahun.