Tiada rekod Warisan berjaya selesai 17 tuntutan MA63, kata Armizan

Tiada rekod Warisan berjaya selesai 17 tuntutan MA63, kata Armizan

Menteri Armizan Mohd Ali yang memimpin Urus Setia MA63 dari Dis 2022 hingga Dis 2023 tidak pasti apakah 17 perkara yang didakwa berjaya diselesaikan.

Armizan Mohd Ali
Isu MA63 penting untuk Sabah dan tidak boleh ditunggang sebagai modal politik pada PRN ini, tegas Menteri Armizan Mohd Ali. (Gambar Bernama)
KOTA KINABALU:
Tiada sebarang rekod menunjukkan Parti Warisan (Warisan) berjaya menyelesaikan 17 tuntutan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sepanjang parti itu menerajui kerajaan Sabah dari 2018 hingga 2020.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Armizan Mohd Ali, berkata beliau mendengar dakwaan itu sejak 2023 dan kini kembali ‘berkumandang’ sebagai bahan kempen parti berkenaan menjelang PRN Sabah ke-17.

Armizan yang pernah berkhidmat sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas), serta mengetuai Urus Setia MA63 di Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak, berkata berdasarkan dokumen urus setia, tiada bukti menunjukkan 17 perkara itu telah diselesaikan.

“Saya pernah bangkitkan persoalan ini kepada Warisan pada 2023 dan akhirnya respons adalah belum selesai, tetapi telah dipersetujui.

“Kini menjelang pilihan raya, mereka kembali bermodalkan ‘kejayaan 17’ dalam MA63. Saya menegaskan isu MA63 penting untuk Sabah dan tidak boleh ditunggang sebagai modal politik pada PRN ini,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata dalam tadbir urus kerajaan, frasa seperti persetujuan secara prinsip atau kelulusan dasar tidak bermakna sesuatu perkara itu telah diluluskan sepenuhnya sebagaimana dituntut, dan lebih penting tidak semua perkara yang dipersetujui secara dasar akan dilaksanakan.

Armizan yang memimpin Urus Setia MA63 dari Dis 2022 hingga Dis 2023 berkata beliau tidak pasti apakah 17 perkara yang didakwa berjaya diselesaikan oleh Warisan itu, dan menyerahkan kepada parti berkenaan untuk menjelaskannya.

Beliau berkata dalam tempoh setahun memimpin urus setia berkenaan, terdapat lima perkara yang telah dibincangkan, dipersetujui dan dilaksanakan melalui pelbagai instrumen rasmi.

Hari mengundi PRN Sabah Ke-17 ditetapkan pada 29 Nov dan pengundian awal pada 25 Nov.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.