
Dalam temu bual eksklusif FMT, Hajiji berkata Sabah menerima langkah itu secara berhati-hati tetapi positif.
“Yang penting, soal 40% itu mereka tidak buat rayuan. Kalau ada ayat dalam keputusan hakim yang mereka perlu rayu, kita beri ruang,” katanya.
Beliau berkata, rayuan terhad Putrajaya hanya melibatkan sebahagian alasan penghakiman yang menyentuh dakwaan terhadap kerajaan sejak 1974, bukan hak 40% itu sendiri.
“Kalau itu tidak dirayu, ia boleh dianggap tidak adil kepada mereka,” katanya.
Hak 40% bermula sejak 1963
Tuntutan itu berpunca daripada Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perkara 112C Perlembagaan Persekutuan. Sabah ketika itu menyerahkan kuasa percukaian kepada persekutuan, dan sebagai balasan dijamin 40% daripada hasil bersih yang dipungut di negeri itu.
Rundingan semula terakhir dibuat pada 1969 dan digazetkan pada 1970. Kajian wajib seterusnya pada 1974 tidak pernah diadakan, menyebabkan Sabah menerima angka hampir statik selama hampir lima dekad — tempoh yang banyak pihak di Sabah anggap sebagai ‘tahun-tahun yang hilang’.
Pada 17 Okt 2025, Mahkamah Tinggi memutuskan kegagalan kerajaan persekutuan mengadakan semakan sejak 1974 adalah tidak sah, tidak rasional dan melanggar Perlembagaan.
‘Kalau tidak dirayu, semua kerajaan sejak 1974 nampak bersalah’
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, menjelaskan Putrajaya mengemukakan rayuan terhad kerana keputusan itu membawa implikasi besar.
“Kalau tidak dirayu, ia seolah-olah semua kerajaan sejak 1974 menyalahi undang-undang,” katanya di Parlimen pada 13 Nov lalu.
Namun, beliau menegaskan kerajaan tidak menyentuh bahagian penghakiman yang mengesahkan hak Sabah.
“Kerajaan persekutuan tidak akan merayu pemberian khas Sabah berdasarkan 40% hasil,” katanya.
Anwar berkata, kerajaan komited menyelesaikan isu itu segera dan menekankan perlunya rundingan yang dijalankan dalam semangat kepercayaan.
Sabah tubuh pasukan rundingan khas
Hajiji berkata, Sabah telah membentuk jawatankuasa khas melibatkan setiausaha kerajaan negeri, peguam besar negeri dan pegawai kanan kewangan untuk meneliti angka serta menyediakan hujah teknikal bagi rundingan dengan Putrajaya.
Fokus utama ialah mendapatkan data hasil yang tepat.
“Ini mesti diperhalusi…berapa jumlah cukai yang benar-benar dipungut dari Sabah?” katanya sambil menambah banyak syarikat besar beroperasi di Sabah tetapi membayar cukai di Kuala Lumpur kerana beribu pejabat di ibu negara.
RM17 bilion vs 40%: Dua angka, maksud berbeza
Kenyataan Anwar bahawa persekutuan ‘mengambil RM10 bilion di Sabah tetapi kembalikan RM17 bilion’ mencetuskan perdebatan baharu.
Antara membangkitkan persoalan termasuk bekas presiden Persatuan Undang-undang Sabah, Roger Chin yang menggesa Putrajaya mendedahkan secara terperinci jumlah hasil dikutip dari negeri itu.
Turut diminta penjelasan berkait bayaran semula bawah Perkara 112C Perlembagaan Persekutuan dan perbelanjaan biasa persekutuan bagi menjelaskan hak 40% Sabah.
RM17 bilion ialah perbelanjaan persekutuan di Sabah — termasuk gaji guru, polis, hospital, projek pembangunan dan subsidi.
Tuntutan Sabah pula ialah hasil bersih yang dipungut dari negeri itu, yang sepatutnya kembali sebagai peruntukan negeri bawah MA63 — bukan perbelanjaan kementerian persekutuan.
Bagi Sabah, Hajiji menekankan keperluan rundingan supaya angka itu dapat diperhalusi.
“Perundingan mesti dijalankan untuk kita mencari kebenarannya,” tegasnya sambil menekankan hak Sabah di bawah MA63.
Berapakah nilai 40% ini?
Laporan fiskal menunjukkan persekutuan mengutip sekitar RM261.9 bilion hasil negara pada 2024, termasuk kira-kira RM16.6 bilion berkaitan Sabah.
Jika formula 40% dilaksanakan sepenuhnya, Sabah boleh menerima beberapa bilion ringgit setahun.
Namun, rekod rasmi menunjukkan hanya sekitar RM830 juta disalurkan terus kepada kerajaan negeri, manakala kira-kira RM2.5 bilion direkodkan sebagai perbelanjaan khusus persekutuan di negeri itu.
Sistem fiskal Malaysia terlalu kabur
Pakar dasar awam dari Ideas, Sri Murniati Yusuf, berkata sistem fiskal negara perlu diperbaiki segera.
“Hari ini kita tidak mempunyai gambaran tepat berapa hasil dipungut dari setiap negeri dan berapa yang dikembalikan,” katanya seperti dilaporkan The Edge.
Tricia Yeoh dari University of Nottingham dalam kenyataan kepada media sama pula berkata, Malaysia perlu bergerak ke arah formula perkongsian hasil yang jelas dan boleh dijangka, bukan rundingan ad hoc.
Tanpa keikhlasan, ia akan jadi satu lagi janji yang gagal
Pemerhati politik Sabah, Jo-Anna Sue Henley Rampas, berkata isu 40% kini memasuki fasa yang paling sensitif.
“Rakyat Sabah sudah terlalu lama menunggu. Mereka mahu lihat pelaksanaan, bukan kenyataan (hujahan),” katanya.
Menurut calon PhD bidang sains politik di Universiti Malaysia Sarawak itu, penyelesaian sebenar bergantung kepada kepercayaan antara dua kerajaan.
“Kalau ada keikhlasan, 40% ini boleh jadi kenyataan. Kalau tiada, kita akan kembali ke kitaran lama iaitu janji, tunda, hilang, dan ulang semula,” tegasnya.
Menuju penyelesaian atau ulangan lama?
Dengan tempoh 90 dan 180 hari yang ditetapkan mahkamah kini berjalan, Sabah memasuki fasa paling kritikal dalam perjuangan 40% sejak 1963.
Mahkamah sudah memberi kejelasan. Putrajaya mengiktiraf hak itu. Sabah pula menyediakan struktur rundingan. Namun, kejayaan pelaksanaan 40% bukan bergantung pada undang-undang atau angka semata-mata tetapi bergantung kepada sejauh mana Sabah dan Putrajaya benar-benar mahu menunaikan janji yang tertangguh lebih separuh abad.