Bersilat di kubur tidak boleh diterima dalam Islam, tegas Na’im

Bersilat di kubur tidak boleh diterima dalam Islam, tegas Na’im

Setiap perbuatan harus menepati batas-batas akidah, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Na'im Mokhtar.

Tangkap layar video tular memaparkan seorang lelaki memakai jaket serta bertopi keledar berdiri di kawasan perkuburan sambil melakukan beberapa gerakan tangan dan kaki.
PETALING JAYA:
Bersilat di kawasan kubur adalah tidak boleh diterima dalam agama Islam, tegas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Na’im Mokhtar.

Beliau menerangkan bahawa setiap perbuatan di kawasan kubur harus menepati batas-batas akidah, serta dilakukan dengan menghormati waris.

“Masyarakat Islam yang tidak pasti mengenai hukum sesuatu perbuatan hendaklah merujuk kepada pihak berilmu dan berautoriti,” katanya, lapor Bernama, selepas majlis di Kota Tinggi, Johor.

Semalam, media melaporkan kerajaan Johor mengarahkan Pejabat Kadi Kluang menyiasat video memaparkan seorang lelaki melakukan pergerakan seakan-akan bersilat di tanah perkuburan Islam.

Menteri mengucap terima kasih kepada Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Fared Khalid, atas tindakan pantas.

Beliau juga menyeru masyarakat Islam memberi ruang kepada penguat kuasa agama menjalankan siasatan menyeluruh, menasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi sehingga fakta sebenar diperoleh.

“Jika siasatan mendapati individu itu mengalami gangguan mental, maka kita perlu merujuknya untuk mendapatkan rawatan dan membaiki diri beliau,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.