Terbuka Australia: Tang Jie-Ee Wei hampiri gelaran kedua tahun ini

Terbuka Australia: Tang Jie-Ee Wei hampiri gelaran kedua tahun ini

Beregu nombor empat dunia akan menentang sama ada pilihan kedua dari Indonesia atau ketiga dari Thailand pada final esok.

Chen Tang Jie and Toh Ee Wei
Pada aksi separuh akhir Chen Tang Jie-Toh Ee Wei menumpaskan pasangan Thailand Pakkapon Teeraratsakul-Sapsiree Taerattanachai 21-16, 21-14, untuk tempah slot ke final esok. (Gambar EPA Images)
KUALA LUMPUR:
Beregu campuran utama negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei hanya selangkah lagi untuk merangkul gelaran kedua mereka tahun ini selepas menampilkan aksi bertenaga untuk mara ke final Kejohanan Badminton Terbuka Australia 2025 di Sydney hari ini.

Pada aksi separuh akhir kejohanan Super 500 yang berlangsung di Quaycentre, Olympic Boulevard, juara dunia dan pilihan utama itu mengambil masa 50 minit untuk menumpaskan pasangan Thailand Pakkapon Teeraratsakul-Sapsiree Taerattanachai 21-16, 21-14, untuk menempah slot ke final esok.

Beregu nombor empat dunia itu akan menentang sama ada pilihan kedua dari Indonesia Jafar Hidayatullah-Felisha Alberta Nathaniel Pasaribu atau pilihan ketiga dari Thailand Ruttanapak Oupthong-Jhenicha Sudjaipraparat.

Sementara itu, hasrat beregu lelaki profesional negara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani untuk mara ke final ketiga mereka tahun ini tidak kesampaian selepas tewas mengejut kepada pasangan bukan pilihan dari Indonesia Raymond Indra-Nikolaus Joaquin.

Beregu pilihan kedua itu tewas 15-21, 15-21 dalam masa 42 minit pada pertemuan pertama mereka menentang Raymond-Nikolaus.

Pasangan yang kini menghuni ranking keempat dunia itu hanya meraih satu gelaran tahun ini pada Terbuka India 2025, Januari lepas dan muncul naib juara Terbuka Jepun 2025, Julai lepas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.