
Pengerusi BN berkata, keputusan berhubung calon ketua menteri akan dibuat secara syura dan rundingan antara kepimpinan BN Sabah dan pusat sebaik keputusan pilihan raya diketahui.
“Kita telah membuat keputusan bahawa apabila kita memenangi kerusi yang banyak, barulah kita akan membuat cara syura dan perundingan untuk menentukan calon ketua menteri,” katanya selepas pelancaran manifesto BN Sabah.
Zahid berkata, faktor hierarki dalam organisasi parti turut menjadi penentu penting dalam pemilihan calon.
“Tentunya kita meyakini bahawa hierarki itu harus diberikan keutamaan dalam organisasi parti kita,” katanya, memberi bayangan kedudukan dalam parti akan menjadi asas utama dalam proses tersebut.
Walaupun Zahid tidak menamakan sesiapa, tradisinya calon ketua menteri daripada BN Sabah datang daripada Umno, parti komponen terbesar gabungan itu di negeri berkenaan.
Ketika ini, Ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin menjadi antara nama sering disebut sebagai calon berpotensi.
Sepanjang seminggu berkempen, soal calon ketua menteri menjadi tumpuan, dengan beberapa parti termasuk Warisan dan Perikatan Nasional (PN) juga mengambil pendekatan sama tidak mengumumkannya.
Dalam PRN Sabah kali ini, BN bertanding di 45 kerusi sebagai sebahagian daripada kerajaan perpaduan di peringkat persekutuan, dengan kerjasama rapat bersama Pakatan Harapan (PH).
Kedua-duanya berdepan persaingan sengit daripada GRS, PN, Warisan serta calon bebas yang bertanding di hampir semua kawasan.