
Wong yang bertanding merebut kerusi Tanjung Aru berkata, beliau ‘tidak pernah melihat SPR berkelakuan sedemikian’ sepanjang 18 tahun berkecimpung dalam politik.
“Pegawai SPR ekori calon-calon kami dengan kamera ke mana-mana, rakam segalanya. Malah, mereka nasihati calon kami agar tidak terlalu banyak berinteraksi dengan orang ramai,” katanya pada sidang media hari ini.
“Ini kali pertama dalam hidup saya pilihan raya terasa begini. Terasa pelik. Ke mana sahaja kami pergi, mereka ada. Biarkan demokrasi berfungsi. Biarkan semua pihak kempen secara adil, biar rakyat yang tentukan.”
Adun tiga penggal itu mendakwa SPR menghalang calon Warisan daripada makan bersama-sama penduduk kampung, walaupun ia dibenarkan sebelum ini.
“Tiba-tiba, kali ini, mereka kata calon tidak boleh makan bersama-sama orang kampung. Jika kami tidak makan bersama mereka, orang kampung akan anggap calon itu sombong. Mereka tidak faham sekatan tiba-tiba begini,” katanya.
Beliau turut mendakwa SPR berat sebelah, memetik insiden calon DUN Likas dilarang berucap pada sebuah acara diadakan di Luyang.
“Jadi saya tanya, bagaimana pula dengan (calon DAP) Phoong Jin Zhe? Beliau calon Likas tetapi ada juga berucap di Sandakan dan Tawau,” katanya.
“Apabila kami minta SPR nyatakan peraturan tersebut, mereka gagal tunjuk sebarang bukti hitam putih. Akhirnya, mereka benarkan kami teruskan program.”
Wong juga menyuarakan rasa tidak puas hati mengenai pemasangan bendera Umno di Tanjung Aru sedangkan parti itu tidak bertanding di kerusi DUN itu.
Beliau berkata, SPR tidak mengambil sebarang tindakan walaupun perkara itu melanggar peraturan kempen.
Jelasnya, Warisan tidak membantah peraturan tersebut, sebaliknya mempersoalkan penguatkuasaan yang tidak saksama.
“Kami hanya mahu SPR kuat kuasa peraturan secara adil bagi semua pihak, bukan hanya kami,” katanya.
“Kami bukan mengadu, kami cuma mahukan keadilan. Saya tidak salahkan pegawai-pegawai itu, mereka hanya menurut perintah. Namun tekanan ini tidak perlu. Terasa seperti disasarkan.”
Apabila dihubungi FMT, Timbalan Pengerusi SPR Azmi Sharom mencadangkan Warisan membuat aduan rasmi dengan pihak suruhanjaya dengan bukti menyokong dakwaannya.
Wong berdepan saingan sembilan penjuru dalam usaha mempertahankan kerusi DUN Tanjung Aru buat penggal ketiga.
Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Adun Likas sebelum ini.
Antara pencabar terhebatnya termasuk Timbalan Ketua DAP Sabah Chan Foong Hin, yang bertanding dengan tiket Pakatan Harapan (PH).
Semasa Wong memenangi kerusi tersebut pada pilihan raya 2018 dan 2020, Warisan merupakan sekutu PH.