Pendekatan lembut tetapi tegas Hajiji lebih berkesan, kata pemimpin GRS

Pendekatan lembut tetapi tegas Hajiji lebih berkesan, kata pemimpin GRS

Razali Razi berkata tanpa konfrontasi Hajiji membawa lebih banyak hasil untuk Sabah, sambil menegur pemimpin hanya lantang isu MA63 ketika hampir pilihan raya.

Datuk Mohamed Razali Razi, Datuk Bob
Setiausaha Agung PGRS Razali Razi berkata Sabah tidak mungkin maju jika terus terperangkap dalam politik yang memecahbelahkan rakyat.
KOTA KINABALU:
Pendekatan lembut tetapi tegas oleh Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Hajiji Noor lebih berkesan untuk mendapatkan hak negeri itu berbanding konfrontasi.

Setiausaha Agung Parti Gagasan Rakyat Sabah Razali Razi berkata banyak pihak lantang bercakap mengenai hak Sabah atau Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) hanya ketika hampir musim pilihan raya.

Tetapi, tegasnya rekod ketika mereka berkuasa tidak selari dengan slogan dilaungkan seperti mahu menyelamatkan Sabah sedangkan keadaan negeri itu ‘baik-baik sahaja’.

“Pendekatan Hajiji yang lembut tetapi tegas banyak memberi hasil.

“Kita tidak perlu ‘hentak meja’. Beliau sudah 30 tahun dalam politik dan tahu cara terbaik capai sesuatu secara baik,” katanya dalam temu bual FMT.

Razali berkata Sabah tidak mungkin maju jika terus terperangkap dalam politik yang memecahbelahkan rakyat, sedangkan negeri itu memerlukan kerjasama erat kerajaan persekutuan bagi mempercepat pembangunan.

“Jangan kita asyik teriak ‘Sabah Sabah’ tetapi lupa ada juga sumbangan rakan-rakan dari Semenanjung dalam membangunkan negeri ini. Kita perlukan hubungan baik dengan persekutuan demi kestabilan dan pembangunan,” katanya.

Menurutnya, selagi pemimpin Sabah tidak bersatu, isu dimainkan melalui slogan seperti ‘Selamatkan Sabah’ tidak akan membawa sebarang hasil kepada rakyat.

“Kalau benar mahu selamatkan Sabah, buatlah bersama-sama. Bukan hanya dengan slogan. Tengok balik apa yang telah anda lakukan sebelum ini,” katanya yang juga calon GRS bagi DUN Darau.

Razali turut meminta tindakan sesetengah pihak mengapi-apikan ‘perasaan eksklusif’ sehingga mewujudkan sentimen negatif terhadap warga Semenanjung yang berkhidmat di Sabah.

“Berhenti melabel. Hentikan sentimen Sabah lawan Semenanjung. Bila guru datang mengajar di sini, saya lihat dia sebagai guru, bukan orang Semenanjung.

“Masa Covid, doktor-doktor datang bantu tanpa membezakan siapa Sabah atau Kelantan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.