
Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah Masiung Banah berkata kerajaan GRS sudah mempunyai perancangan sedia ada untuk diteruskan berbanding pentadbiran baharu.
Menurutnya, kerajaan baharu biasanya memerlukan tempoh dua hingga tiga tahun untuk menyusun pentadbiran yang akan memberi kesan kepada rakyat.
“Bila kerajaan bertukar, dasar juga akan berubah.
“Projek sedang berjalan boleh terbantut atau dihentikan. Akhirnya rakyat yang rugi,” katanya selepas berkempen membantu calon GRS Sekong dan Sungai Sibuga di Sandakan.
GRS mencalonkan Diana Hamdan Diego di Sekong manakala Amir Shah Yakob di Sungai Sibuga pada PRN Sabah 29 Nov depan.
Menurutnya, kesinambungan pentadbiran GRS penting bagi memastikan pembangunan di Sabah tidak terganggu serta mengekalkan kestabilan politik yang dinikmati sekarang.
“Sejarah membuktikan apabila berlaku ketidakstabilan politik dan kerajaan kerap bertukar, banyak program pembangunan tidak dapat diteruskan,” katanya.
Masiung turut melahirkan keyakinan Diana dan Amir Shah memiliki kelebihan untuk merampas kedua-dua kerusi itu daripada pembangkang.