‘Paling penting boleh berkhidmat’, PM ulas desakan parti tempatan tadbir Sabah

‘Paling penting boleh berkhidmat’, PM ulas desakan parti tempatan tadbir Sabah

Perdana menteri berkata perkara paling penting ialah tadbir urus, tidak kira siapa yang memimpin.

WARISAN-HARPAN-STAR-PIS-PBK-FLAG-PRN SABAH
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata tadbir urus yang lemah menyebabkan Sabah dibelenggu pelbagai masalah berkaitan sumber semula jadinya seperti balak dan tanah, serta isu bekalan air.
JOHANNESBURG:
Desakan parti berpangkalan di Sabah supaya hanya parti tempatan membentuk kerajaan negeri akan datang, terlepas pandang isu sebenar, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Anwar yang juga pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, dalam urusan pentadbiran negeri, perkara paling penting ialah soal tadbir urus, tidak kira siapa yang menjadi pemimpin.

Beliau berkata, pada masa lalu, tadbir urus yang lemah menyebabkan Sabah berdepan pelbagai masalah, termasuk yang berkaitan dengan sumber asli seperti balak dan tanah, serta masalah bekalan air.

“Tidak kira sama ada kerajaan itu dipimpin oleh parti dari Semenanjung atau parti dari Sabah, bagi saya itu bukan isu selagi parti tersebut mampu berkhidmat kepada rakyat,” katanya kepada wartawan Malaysia yang membuat liputan lawatannya ke Afrika Selatan.

Menjelang PRN Sabah ke-17 pada 29 Nov ini, ada gesaan supaya kerajaan negeri yang baharu dipimpin sepenuhnya oleh parti tempatan.

Sentimen itu menyebabkan Parti Progresif Sabah dan Parti Solidariti Tanah Airku keluar daripada Gabungan Rakyat Sabah selepas gabungan itu bersetuju untuk bekerjasama dengan PH bagi menghadapi pilihan raya.

Warisan juga berikrar tidak akan bekerjasama dengan gabungan parti dari Semenanjung dalam membentuk kerajaan negeri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.