Jawatankuasa bersama Kementerian Komunikasi, KKM ditubuh pantau NG MERS 999

Jawatankuasa bersama Kementerian Komunikasi, KKM ditubuh pantau NG MERS 999

Fungsi jawatankuasa khas termasuk teliti isu teknikal dan operasi serta pastikan kelancaran penyampaian perkhidmatan kecemasan.

Fahmi Fadzil Dzulkefly Ahmad
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dan Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad semasa lawatan ke pusat kawalan NG MERS 999 hari ini. (Gambar X)
PUTRAJAYA:
Satu Jawatankuasa Khas Bersama melibatkan Kementerian Komunikasi dan Kementerian Kesihatan (KKM) akan ditubuhkan bagi memastikan keberkesanan dan kestabilan platform baharu NG MERS 999.

Dalam kenyataan bersama Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dan Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad, mereka berkata, fungsi jawatankuasa itu termasuk meneliti isu teknikal dan pengoperasian, memastikan kelancaran penyampaian perkhidmatan kecemasan serta menyediakan laporan mingguan kepada Jemaah Menteri.

“Kedua-dua menteri juga telah meninjau Pusat Kawalan NG MERS 999 hari ini. Sejak sistem NG MERS 999 mula beroperasi hingga 12 tengah hari tadi, (ia) telah menerima 323,957 panggilan yang dikendalikan oleh 170 pegawai kecemasan profesional di 1,302 stesen kerja.

“95% panggilan diproses dalam masa lapan saat. Pusat Sokongan Teknikal 24 jam juga tersedia di seluruh negara untuk memberikan perkhidmatan sokongan dan penyelenggaraan apabila diperlukan,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan bersama itu, KKM sedang melaksanakan pelarasan proses kerja sementara bagi memastikan respons klinikal dan perubatan kekal berada pada tahap optimum.

“Pelarasan proses kerja hanya melibatkan aliran kerja dalaman bagi pengurusan panggilan kecemasan perubatan di bawah KKM,” katanya.

“Melalui penyesuaian tersebut, proses pengaktifan ambulans dapat dilaksanakan dengan lebih teratur mengikut proses kerja yang telah terbukti stabil sebelum integrasi penuh dibuat.”

Sistem NG MERS 999 kekal beroperasi sepenuhnya sebagai platform kecemasan nasional dan semua agensi lain seperti polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia terus berfungsi melalui sistem tersebut tanpa sebarang perubahan, manakala Response Centre (RC) 999 akan terus menerima panggilan melalui NG MERS 999.

“Pusat Penyelarasan Kecemasan Perubatan (MECC) kekal sebagai sebahagian ekosistem NG MERS 999 serta menyelaras panggilan yang memerlukan penglibatan agensi lain melalui pusat kawalan NG MERS 999,” menurut kenyataan itu.

NG MERS 999 mula beroperasi sepenuhnya pada 16 Nov lepas sebagai kesinambungan sistem MERS 999 yang mula digunakan pada 2007.

Sistem itu kini merangkumi 837 lokasi operasi dengan anggaran kos operasi tahunan sekitar RM113 juta, selaras dengan peluasan capaian, peningkatan keupayaan infrastruktur, integrasi antara agensi dan keperluan keselamatan siber yang lebih tinggi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.