
Pengerusi PTPTN Norliza Abdul Rahim berkata, pencapaian ini mencerminkan kesedaran yang semakin tinggi dalam kalangan masyarakat mengenai kepentingan penabungan demi masa depan pendidikan tinggi anak-anak.
Katanya, penganjuran BMS 2025 merupakan manifestasi iltizam PTPTN selaku agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi dalam memperkukuh usaha perancangan kewangan jangka panjang demi kelangsungan pendidikan tinggi negara.
“Pencapaian terimaan deposit Simpan SSPN yang melebihi sasaran semasa program ini membuktikan keberkesanan strategi yang dirancang serta sokongan padu daripada masyarakat.
“Perkara ini turut mencerminkan tahap kesedaran yang semakin tinggi dalam kalangan ibu bapa terhadap keperluan perancangan kewangan yang lebih awal bagi menjamin masa depan pendidikan anak-anak selaras dengan aspirasi melahirkan modal insan berkualiti dan berdaya saing,” katanya dalam satu kenyataan.
Norliza berkata PTPTN terus komited melaksanakan pelbagai inisiatif dan program berimpak tinggi bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan penabungan demi menjamin akses pendidikan tinggi yang lebih terancang dan seterusnya mengurangkan kebergantungan terhadap pinjaman pendidikan.
Beliau juga menyeru kerajaan negeri, agensi kerajaan serta badan korporat dan swasta untuk menjadikan akaun Simpan SSPN sebagai pilihan utama bagi agihan bantuan kepada masyarakat.
BMS merupakan inisiatif pemerkasaan penabungan yang dipelopori oleh PTPTN sejak 2018 bertujuan untuk memastikan setiap ibu bapa menjadi adiwira atau superhero kepada anak-anak dengan membuat perancangan kewangan.
2025 merupakan tahun kelapan penganjuran BMS bersempena Hari Tabungan Sedunia yang disambut pada 31 Oktober setiap tahun. Sepanjang program berlangsung, pelbagai aktiviti dan pertandingan diadakan yang disertai oleh ibu bapa serta anak-anak dari pelbagai lapisan masyarakat.
Simpan SSPN menawarkan pelbagai keistimewaan dan manfaat kepada pendeposit, antaranya insentif pelepasan taksiran cukai pendapatan, perlindungan takaful percuma, Geran Sepadan sehingga RM10,000 bagi keluarga yang layak, kadar dividen yang kompetitif, patuh syariah dan simpanan yang dijamin kerajaan.
Maklumat lanjut berkenaan Simpan SSPN boleh diperoleh melalui portal rasmi www.ptptn.gov.my atau aplikasi myPTPTN untuk perkhidmatan yang lebih mudah, cepat dan selamat.