Tanpa hubungan rapat pusat, pembangunan Sabah terbantut, kata Masidi

Tanpa hubungan rapat pusat, pembangunan Sabah terbantut, kata Masidi

Masidi Manjun ingatkan banyak keputusan rugikan negeri susulan ketiadaan kerjasama dengan pusat semasa pentadbiran Parti Bersatu Sabah dahulu.

Datuk Seri Masidi Manjun
Setiausaha Agung GRS Masidi Manjun berkata pengalaman lalu harus jadi sandaran walaupun ada perbezaan politik, Sabah tetap sebahagian Malaysia.
KOTA KINABALU:
Sejarah lampau mengingatkan tanpa hubungan rapat antara kerajaan pusat dan negeri mengakibatkan pembangunan Sabah terbantut, kata Masidi Manjun.

Setiausaha agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata, keadaan itu berlaku semasa pentadbiran Parti Bersatu Sabah (PBS) dari 1985 hingga 1994 diketuai Joseph Pairin Kitingan, abang kepada Jeffrey iaitu presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) yang melaungkan sentimen ‘Sabah For Sabahan’ pada PRN kali ini.

PBS kini sebahagian GRS selepas keluar Barisan Nasional (BN) pada 2018.

“Ramai orang lupa pengalaman pahit ketika PBS mentadbir dahulu, apabila mereka tidak bekerjasama dengan pusat, pembangunan terbantut.

“Banyak keputusan ketika itu yang kita lihat hari ini sebagai merugikan,” kata Masidi dalam temu bual FMT, mengulas kepentingan kerjasama dengan Putrajaya untuk meneruskan kemajuan serta kebajikan Sabah.

Masidi yang juga penyandang DUN Karanaan berkata, masalah itu berpunca daripada ketiadaan sokongan kewangan mencukupi ketika hubungan kedua-dua kerajaan berada pada tahap tidak mesra.

“Kita tidak mahu pisang berbuah dua kali. Pengalaman itu harus dijadikan sandaran untuk kita ingat bahawa apa pun perbezaan politik, Sabah tetap sebahagian daripada Malaysia,” katanya yang juga menteri kewangan sementara Sabah.

Masidi berkata, pengalaman beliau dalam tempoh tiga hingga empat tahun ini menunjukkan hubungan baik dengan kerajaan pusat membawa banyak manfaat kepada Sabah, termasuk pengiktirafan terhadap keupayaan kerajaan negeri mentadbir.

Beliau berkata, walaupun pentadbiran negeri dipimpin parti tempatan, kekuatan sebenar datang daripada hubungan kukuh dengan Putrajaya.

“Tunggak pentadbiran kita ialah parti tempatan, tetapi kerjasama dengan pusat tetap erat dan padu,” katanya.

Masidi yakin selagi hubungan itu dikekalkan, Sabah mampu mengekalkan momentum pembangunan dan mengelakkan kesilapan pernah berlaku pada masa lalu.

Bulan lalu, Pengerusi GRS Hajiji Noor berkata parti itu kekal dengan pendirian meneruskan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) pada PRN, mengambil kira hubungan baik kerajaan negeri dengan persekutuan bawah pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Katanya, hasil kerjasama baik itu membolehkan Sabah mendapat penurunan kuasa dalam sembilan perkara dituntut melalui Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Ahad lalu, Anwar berkata Putrajaya akan menunaikan hak Sabah memperoleh 40% daripada hasil yang dikutip dari negeri itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.