RMK13 angkat ekonomi biru sebagai wajah baharu Sabah, kata Hajiji

RMK13 angkat ekonomi biru sebagai wajah baharu Sabah, kata Hajiji

Hajiji Noor berkata kerjasama erat dengan Putrajaya membolehkan agenda ekonomi biru negeri dijadikan teras pembangunan nasional di bawah RMK13.

kudat
Sabah berpotensi besar memimpin agenda ekonomi biru merangkumi pembangunan berasaskan laut secara lestari. (Gambar Bernama)
KOTA KINABALU:
Ekonomi biru kini pemacu utama pembangunan baharu Sabah selepas Putrajaya mengangkat agenda itu sebagai teras nasional dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), kata Ketua Menteri sementara Hajiji Noor.

Ia merangkumi pembangunan berasaskan laut secara lestari termasuk tenaga boleh diperbaharui, industri perikanan moden, bioteknologi marin, logistik maritim dan pemuliharaan ekosistem.

Hajiji Noor
Hajiji Noor.

Bercakap kepada FMT, Hajiji berkata Sabah mempunyai potensi terbesar di Malaysia untuk memimpin agenda ini dan turut digariskan secara khusus dalam Bab 2, A3 RMK13 dibentangkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim di Parlimen, 31 Julai lalu.

“Kalau sebut Sarawak, tenaga boleh diperbaharui. Kalau sebut Sabah, ekonomi biru,” katanya merujuk sokongan Anwar ketika beliau membentangkan hala tuju ekonomi biru Sabah kepada Majlis Ketua-ketua Menteri dan Menteri Besar.

Hajiji berkata pencapaian itu hasil pendekatan diplomasi senyap tetapi konsisten, yang menjadi gaya kepimpinannya dalam berurusan dengan kerajaan persekutuan dan agensi nasional.

“Tidak perlu kita teriak-teriak atau bergaduh. Bincang secara baik dan dapat hasilnya,” katanya.

Menurutnya, kerajaan negeri kini sedang membangunkan Taman Perindustrian Ekonomi Biru di Kudat yang bakal menjadi hab industri berasaskan laut, teknologi marin serta tenaga bersih.

Pembangunan itu dijangka membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan limpahan ekonomi kepada komuniti pantai serta luar bandar.

Hajiji menekankan perkembangan ekonomi biru di Sabah bukan sekadar retorik tetapi dibina melalui penyediaan pelan pembangunan yang jelas dan boleh dilaksanakan.

“Beginilah caranya kalau kita mahu bangunkan Sabah. Teriak sana-sini, mahu buat macam-macam, cakap itu dan ini, tetapi tiada hasil.

“Saya diam, ada hasil,” katanya.

Beliau juga menghargai Putrajaya atas usahanya itu sekali gus meletakkan Sabah sebagai antara negeri paling diberi perhatian dalam fasa pembangunan negara akan datang.

“Beginilah caranya kalau kita mahu bangunkan Sabah,” katanya menggesa rakyat memilih pemerintah mampu melaksanakan agenda jangka panjang dan meneruskan kemajuan negeri.

“Kalau sayang Sabah, mahu bangunkan dan majukan negeri ini, kita perlu memilih kerajaan mampu melaksanakan agenda jelas dan ikhlas untuk rakyat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.