Perkhidmatan monorel KL terganggu akibat masalah teknikal

Perkhidmatan monorel KL terganggu akibat masalah teknikal

Video tular menunjukkan penumpang terkandas terpaksa berpindah dari satu tren ke tren lain dengan bantuan petugas Rapid Rail.

monorail halt
Rapid Rail berkata pasukan kejuruteraan sedang jalankan kerja baik pulih selepas tren terhenti akibat masalah teknikal berhampiran stesen Medan Tuanku station.
PETALING JAYA:
Perkhidmatan monorel Kuala Lumpur mengalami kelewatan selepas sebuah tren terhenti di landasan akibat gangguan sistem teknikal antara stesen Medan Tuanku dan Chow Kit.

Rapid Rail Sdn Bhd dalam satu kenyataan berkata pegawai transit yang berada di dalam tren itu berjaya memindahkan penumpang ke stesen berhampiran.

Katanya, pihak operasi mengaktifkan perkhidmatan tren perantara alternatif antara stesen KL Sentral dan Hang Tuah, serta antara Hang Tuah dan Bukit Nanas.

Bas perantara juga disediakan antara stesen Titiwangsa dan Bukit Nanas.

“Pasukan kejuruteraan berada di lokasi bagi menjalankan kerja-kerja baik pulih dan mengembalilan operasi normal secepat mungkin.

“Penumpang dinasihat untuk merujuk kepada laman sosial Rapid KL bagi mendapatkan maklumat lanjut dan perkembangan terkini status perkhidmatan,” kata kenyataan itu.

Terdahulu, tular beberapa video menunjukkan tren monorel tidak bergerak di landasan dan penumpang dilihat dipindahkan dari satu tren ke tren lain dengan bantuan kakitangan Rapid Rail.

Sementara itu, Bomba Kuala Lumpur dalam satu kenyataan berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada 9.30 pagi dan menghantar jentera serta anggota dari Balai Bomba Titiwangsa ke lokasi kejadian.

Komander Operasi Kuala Lumpur, Mohamad Remi Che Mat berkata setibanya lokasi pihaknya mendapati tren terkandas antara laluan Medan Tuanku berhampiran Maju Junction dan penumpang dipindahkan pihak pengurusan.

“Seramai 373 penumpang berjaya dipindahkan dan terdapat seorang wanita berusia 58 tahun pengsan namun telah sedarkan diri selepas mendapat rawatan daripada pihak KKM,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.