Mangsa bunuh di restoran miliki 42 rekod jenayah termasuk samun, kata polis

Mangsa bunuh di restoran miliki 42 rekod jenayah termasuk samun, kata polis

Ketua Polis Negeri Sembilan Alzafny Ahmad berkata mangsa berusia 33 tahun itu dipercayai ditetak dan ditembak sekumpulan individu dalam kejadian di Seremban malam tadi.

Alzafny Ahmad
Ketua Polis Negeri Sembilan Alzafny Ahmad berkata polis kini giat memburu semua suspek serta mengesan kenderaan dipercayai terlibat dalam kejadian itu. (Gambar Bernama)
SEREMBAN:
Lelaki yang dilaporkan maut berhampiran sebuah restoran di Nusari Biz Sendayan di sini, malam tadi dipercayai ditetak dan ditembak oleh sekumpulan individu bersenjatakan pistol dan parang.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Alzafny Ahmad, berkata mangsa berusia 33 tahun itu, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan. Pemeriksaan awal terhadap tubuh mangsa mendapati terdapat kesan tetakan dan tembakan.

Beliau berkata siasatan awal menunjukkan mangsa mempunyai 42 rekod jenayah atas pelbagai kesalahan termasuk samun, mendatangkan kecederaan, dan pecah rumah.

“Siasatan mendapati mangsa hadir ke restoran berhampiran lokasi kejadian bersama keluarga untuk makan malam. Ketika menuju ke kenderaan, beberapa kereta yang dinaiki enam suspek dipercayai lelaki berpelitup muka menghalang kereta mangsa sebelum menyerangnya.

“Mangsa cuba melarikan diri ke arah jalan raya, namun suspek terus mengejar dan melepaskan tembakan serta menyerang menggunakan parang sehingga dia mengalami kecederaan parah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Rembau untuk bedah siasat dan motif kejadian masih dalam siasatan.

Alzafny berkata kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 3 Akta Senjata Api (penalti lebih berat) 1971, dan polis kini giat memburu semua suspek serta mengesan kenderaan dipercayai terlibat dalam kejadian itu.

“Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi hotline IPD Seremban di talian 06-603222 bagi membantu siasatan,” katanya.

Pagi tadi, Ketua Polis Seremban Azahar Abdul Rahman dilaporkan berkata pihaknya menerima panggilan MERS 999 daripada seorang lelaki memaklumkan insiden tembakan dan serangan menggunakan senjata tajam di kawasan tersebut pada 11.23 malam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.