Jangan hanya tegur, pecat setiausaha politik, Rafizi beritahu Anwar

Jangan hanya tegur, pecat setiausaha politik, Rafizi beritahu Anwar

Bekas menteri ekonomi itu berkata perdana menteri sepatutnya menunjukkan komitmennya untuk memerangi rasuah.

Bekas menteri ekonomi Rafizi Ramli (kiri) menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim merujuk setiausaha politik terbabit kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
PETALING JAYA:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim bukan sahaja perlu menegur, tetapi memecat setiausaha politiknya yang mengeluarkan surat sokongan untuk kontraktor dalam satu projek hospital, kata bekas menteri ekonomi Rafizi Ramli.

Ahli Parlimen Pandan itu berkata ia boleh menjadi peluang untuk perdana menteri menunjukkan komitmennya dalam memerangi rasuah.

“Itu yang sepatutnya berlaku. Jangan tegur sahaja. Pecat terus,” katanya dalam satu video di Facebook.

New Straits Times melaporkan Anwar sebagai berkata di Dewan Rakyat pada Selasa bahawa beliau telah menegur setiausaha politiknya kerana peraturan kerajaan tidak membenarkan pengeluaran surat sokongan sebegitu.

Anwar berkata beliau hanya boleh menulis ‘sila teliti’ walaupun untuk surat yang dialamatkan kepadanya dan kontrak boleh diteliti tetapi tidak boleh diberi sokongan ‘secara automatik’.

Beliau berkata demikian ketika sesi Waktu Pertanyaan Menteri sebagai menjawab soalan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas), yang membangkitkan isu setiausaha politik Anwar menyenaraikan enam kontraktor dalam surat sokongan untuk satu projek hospital yang tidak dinyatakan.

Pemimpin PAS itu mendakwa hanya dua daripada enam kontraktor tersebut layak, manakala selebihnya tidak mempunyai rekod Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB).

Rafizi berkata jawapan Anwar kurang ‘oommph’ memandangkan surat berkenaan terbongkar tahun lalu dan Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad telah mengesahkan ketulenannya.

“Sehingga hari ini, beliau tidak pernah mengetepikan isu memerangi rasuah dalam ucapannya.

“Ketika kami di pihak pembangkang, rakyat faham bahawa kami tidak berkuasa. Kini setelah tiga tahun dalam kerajaan, kita tidak boleh salahkan mereka jika mereka berharap untuk melihat hasil usaha anti-rasuah,” katanya.

Rafizi mendakwa beliau sebelum ini telah membincangkan beberapa perkara serupa dengan Anwar, yang memaklumkan kepadanya bahawa beliau akan menyemak dakwaan tersebut.

“Beliau menyemaknya dan mengesahkan apa yang saya katakan adalah benar. Tetapi setiausaha politik kanan itu masih kekal di situ sehingga sekarang,” katanya.

Rafizi menggesa Anwar merujuk setiausaha politik tersebut kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat bila surat itu dikeluarkan dan sama ada wujud transaksi wang.

“Jika seseorang itu ditegur dengan keras tetapi masih kekal di jawatannya, tiada siapa akan mengambil serius ucapan anda walau sekuat mana pun bahasanya.

“Anda tidak mahu orang berkata bahawa anda mengatakan satu perkara di khalayak, tetapi melakukan sesuatu yang lain secara peribadi,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.