
Menteri belia dan sukan berkata, terpulang kepada FAM untuk merayu, dan mereka ada peguam sendiri yang boleh memberi nasihat guaman.
“Saya tidak boleh nafikan hak mereka untuk (merayu) ke CAS. Tetapi FAM kena bersedia jika CAS tidak memihak kepada mereka, kemungkinan besar hukuman itu boleh dipertingkatkan.
“Yang itu, FAM kena buat pengiraan sendiri,” katanya dalam ucapan penggulungan perbahasan peringkat jawatankuasa Rang Undang-undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 kementeriannya.
Yeoh menjawab soalan Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) mengenai sama ada tindakan meneruskan rayuan ialah langkah yang bijak, memandangkan risiko sekatan lebih berat dan hakikat FAM tidak akan mengemukakan bahan baharu selain daripada apa yang dikemukakan sebelum ini.
Menteri itu sebelum ini menjelaskan hukuman boleh merangkumi denda lebih tinggi dan penggantungan lebih lama.
Yeoh juga berkata, Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) sudah meminta Fifa memutuskan status tujuh pemain Harimau Malaya yang digantung itu sebelum 31 Mac, iaitu tarikh berakhirnya pusingan kelayakan Piala Asia.
“Jika (FAM) kalah, mengikut peraturan sedia ada AFC, keputusan perlawanan akan dikira terbatal dan pasukan lawan akan diberikan tiga mata dan tiga gol.
“Jawatankuasa disiplin AFC juga berhak jatuhkan apa-apa hukuman lain selain daripada potongan mata,” katanya.
Menteri itu juga berkata, peruntukan RM15 juta buat FAM di bawah belanjawan tahun ini tidak boleh digunakan untuk rayuan itu, sebaliknya persatuan itu mesti menanggung kos guamannya sendiri.
Katanya, dana yang diberikan oleh Putrajaya diperuntukkan khas untuk latihan pemain, pengambilan jurulatih dan bentuk sokongan lain untuk skuad Harimau Malaya dan skuad bawah 23 tahun.
Yeoh juga bersetuju dengan Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) bahawa individu yang bertanggungjawab memalsukan dokumen kelahiran dan kewarganegaraan tujuh pemain itu harus ditangkap dan didakwa untuk menamatkan kemelut yang ‘memalukan’ ini.
Menteri itu juga berkata, beliau tidak boleh mendesak agar ahli jawatankuasa FAM dipecat kerana ia berisiko digantung oleh Fifa, yang melarang keras campur tangan badan kerajaan dalam urusan persatuan bola sepak kebangsaan.
Katanya, kementeriannya bagaimanapun boleh mengambil langkah remedi terhadap FAM, seperti mengarahkan pesuruhjaya sukan menjalankan siasatan atau audit ke atas FAM bersama pakar undang-undang.
“Tetapi saya akan tangguhkan langkah-langkah ini sementara menunggu siasatan (jawatankuasa bebas yang diketuai oleh bekas ketua hakim negara) Raus Sharif, supaya tiada pertindihan,” tambahnya.