Hajiji tegas tolak kartel dalam urus mineral Sabah

Hajiji tegas tolak kartel dalam urus mineral Sabah

Ketua menteri sementara berkata proses telus dan ketat menyebabkan permohonan tidak wajar ditolak walaupun tindakan itu mengundang serangan politik.

Datuk Seri Panglima Haji Hajiji bin Haji Noor
Hajiji Noor berkata penyelewengan dapat dikesan seawal peringkat permohonan ‘prospecting’ walaupun ia belum memasuki fasa perlombongan sebenar.
KOTA KINABALU:
Hajiji Noor menegaskan kerajaan negeri tetap tegas menolak kewujudan ‘kartel’ yang cuba memanipulasi atau menguasai permohonan lesen mineral Sabah, sambil menyatakan semua keputusan dibuat mengikut proses sah dan berintegriti.

Mengulas polemik berkaitan pengurusan lesen cari gali, ketua menteri sementara berkata Sabah Mineral Management ditubuhkan khusus untuk memastikan sumber mineral negeri dikawal dengan teliti.

“Ini…kita tubuhkan Sabah Mineral Management ini untuk mengurus sumber mineral di Sabah. Itu tujuannya,” katanya dalam temu bual FMT.

Katanya, penyelewengan dapat dikesan seawal peringkat permohonan ‘prospecting’, walaupun ia belum memasuki fasa perlombongan sebenar.

“Ini baru di peringkat itu. Belum lagi peringkat melombong. Jadi ini pun…mencari gali ini sudah banyak yang tidak betul,” katanya.

Beliau mendedahkan, ada pihak memohon lesen melalui lebih daripada 10 syarikat berbeza, termasuk individu yang membelakangkan integriti serta mereka dikaitkan dengan pegawai kanan kerajaan.

“Ada sifat beberapa orang itu yang menggunakan kesempatan ini memohon, menggunakan lebih daripada 10 buah syarikat…orang di belakang dia, pegawai-pegawai kanan kerajaan,” katanya.

Hajiji turut menyentuh kehadiran individu dari Semenanjung yang cuba mengambil kesempatan.

“Ada satu dari Semenanjung ini yang pandai-pandai datang sini seolah-olah dialah pandai mau ambil semua kesempatan. Kita tidak mahu begini,” katanya.

Prosedur kelulusan ketat cetus serangan politik

Hajiji berkata, semua permohonan dinilai oleh jawatankuasa khas diketuainya sendiri, bersama setiausaha kerajaan negeri, peguam besar negeri, pengarah tanah dan ukur serta pegawai berkaitan.

“Kalau tidak betul caranya tempat yang dipohon, kita tidak boleh bagi kelulusan,” katanya.

Namun, beliau berkata apabila kerajaan menolak permohonan yang tidak wajar, ia dijadikan senjata politik oleh pihak tertentu.

“Apabila kita tidak bagi kelulusan, timbullah macam-macam..mahu jatuhkan kerajaan. Ini orang begini rasuah la apa. Tuduh macam-macam,” katanya.

Hajiji menyifatkan tuduhan tersebut sebagai tidak benar dan bermotif jahat.

“Saya anggap ini satu tuduhan yang niat dia jahat, yang tidak betul,” katanya.

Beliau menjelaskan, banyak lesen cari gali yang dipertikaikan sebenarnya sudah tamat tempoh secara automatik.

“Saya dengar sekarang tempoh lesen cari gali ini sudah pun tamat. Jadi, itu dengan secara automatik terbatal,” katanya.

Percanggahan dakwaan terbongkar di mahkamah

Hajiji turut membidas percanggahan kenyataan yang timbul dalam prosiding mahkamah.

“Di mahkamah, cakap dia tidak bagi. Jadi siapa yang bagi? Hantu dari mana?” soalnya.

Beliau berkata, isu itu kini diserahkan kepada pihak berkuasa, namun rakyat semakin memahami niat sebenar pihak yang menggerakkan naratif ‘kartel’.

“Saya ingat rakyat Sabah tahu. Ada elemen-elemen yang tidak baik niat mereka,” katanya.

‘Saya tak akan benar Sabah diperguna’

Hajiji menegaskan, keutamaan kerajaan negeri ialah memastikan sumber mineral Sabah dilindungi daripada dieksploitasi kelompok berkepentingan sempit.

“Sebagai ketua menteri, saya tidak benarkan ini berlaku. Kalau saya nampak tidak betul caranya, kita tidak akan bagi kelulusan.

“Ketegasan menolak kartel bukan soal politik, tetapi soal amanah menjaga hak rakyat dan negeri,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.