2 mengaku tak salah aniaya beruk

2 mengaku tak salah aniaya beruk

Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.

manusia dan monyet
Tangkap layar video tular menunjukkan seorang lelaki menampar dan menghentak seekor beruk yang sedang bergelut untuk melepaskan diri.
PETALING JAYA:
Dua lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Bachok atas pertuduhan menganiaya seekor beruk pada 1 Nov lalu.

Harian Metro melaporkan Muhamad Amirul Afiq Sanusi, 24, dan Muhammad Khairul Aziman Shamsudin, 28, yang dituduh secara berasingan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di depan Majistret Amin Rashidi Ramli.

Amirul didakwa sengaja menganiaya seekor beruk jantan dengan memukul dan menakut-nakutkannya di Kampung Jembal, Bachok pada 6.30 petang 1 Nov lalu.

Khairul yang juga dua sepupu kepada Amirul didakwa bersubahat atas perbuatan itu di lokasi dan masa sama.

Kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 44 (1) (a) Akta Binatang 1953 yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM50,000 atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Aiman Syahmi Yazid menawarkan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin kepada setiap tertuduh, tetapi peguam Muhammad Habil Zainal Abidin memohon jaminan minimum.

Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 24 Dis ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.