
Suri rumah, Ley Pooi Yan, 50, berkata bapanya yang berusia 82 tahun jatuh lalu terhantuk kepala pada Sabtu di pangsapuri mereka
“Kami berkali-kali menelefon 999 tetapi tidak dapat dihubungi. Apabila saya ikut menu suara, talian terputus,” katanya kepada FMT.
Ley berkata seorang jiran berjaya menghubungi 999 tetapi tiada ambulans datang. Keluarga itu akhirnya dapat bantuan daripada ambulans sebuah NGO kira-kira dua jam kemudian.
NG999 menggantikan sistem Malaysian Emergency Response Services (MERS999) pada 16 Nov.
Dibangunkan bersama oleh Telekom Malaysia Berhad dan Kementerian Komunikasi, sistem baharu ini menyepadukan pusat panggilan, pemetaan, dan perkongsian data merentasi agensi untuk meningkatkan kecekapan tindak balas kecemasan.
Ia dilengkapi aplikasi SaveME999, yang membolehkan rakyat termasuk Orang Kurang Upaya (OKU) menghubungi pengendali 999 menggunakan amaran kecemasan berasaskan video, teks, dan multimedia.
Seorang penduduk, yang minta dinamakan hanya sebagai Nizam, berkata beliau juga tidak dapat menghubungi NG999 apabila ibu yang uzur mengalami kesukaran bernafas.
“Saya panik, tidak pasti apa yang perlu dilakukan, kami berada di tingkat 10 pangsapuri kami, dan saya tidak dapat mengangkat ibu saya turun ke dalam kereta saya,” katanya.
Pengurus operasi Ambulans Komuniti Sungai Ara, Raminder Singh, berkata NGO beliau menerima 13 panggilan kecemasan di Pulau Pinang sejak pelancaran NG999, apabila orang ramai tidak dapat menghubungi 999.
Beliau menceritakan insiden baru-baru ini berhampiran Shell Sungai Tiram, di mana seorang lelaki menelefon mengenai bapanya yang berusia 78 tahun yang sukar bernafas.
“Ambulans kami sedang tangani kes lain. Apabila saya menelefon 999, telefon berdering selama tujuh atau lapan minit sebelum seseorang menjawab. Ambulans hanya tiba kira-kira sejam kemudian,” katanya.
Adun Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz, berkata beliau telah menerima pelbagai aduan bahawa kedua-dua talian hotline NG999 dan aplikasi SaveME999 terhenti apabila panggilan dibuat.
“Ini menimbulkan risiko yang tinggi, terutama untuk warga emas. Sehingga 999 stabil, harus ada talian hotline Pulau Pinang yang berasingan dan nombor-nombor hospital sebagai sandaran,” katanya.
Apabila dihubungi FMT, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Pulau Pinang, Daniel Gooi, berkata kerajaan negeri menyedari cabaran awal dengan NG999 dan sedang menyelaras dengan NGO tempatan untuk memberikan sokongan tambahan sementara sistem distabilkan.
“Kini, ‘dispatch’ berpusat di Kuala Lumpur, menyebabkan masalah koordinasi.
“Kami telah membangkitkan isu itu secara terus kepada pejabat menteri kesihatan dan sedang menunggu pengumuman terkini mereka. Sementara itu, kami akan bekerjasama dengan NGO untuk menyokong sistem tersebut,” katanya.
FMT telah menghubungi pengendali NG999 untuk mendapatkan komen.