Kerja ‘orang luar’ dapat, Noorudin mahu belia setempat pacu industri pelancongan di Bugaya

Kerja ‘orang luar’ dapat, Noorudin mahu belia setempat pacu industri pelancongan di Bugaya

Calon GRS di Bugaya Noorudin Abdul Hussin berkata belia kawasan itu mengeluh peluang kerja diisi bukan kalangan masyarakat tempatan.

Calon GRS di Bugaya, Noorudin Abdul Hussin, berkata 50% penduduk Bugaya terdiri daripada golongan belia dan mereka sewajarnya diberi keutamaan mengisi tenaga kerja. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kawasan Bugaya, Noorudin Abdul Hussin, komited mahu mewujudkan lebih peluang kerja kepada belia Semporna demi menangani keluhan rakyat mengadu peluang itu pergi kepada orang luar.

Beliau berkata, komitmen berkenaan selaras potensi besar daerah tersebut sebagai destinasi pelancongan terkenal dengan keindahan alam semula jadinya, termasuk pulau tumpuan seperti Pulau Sipadan, Pulau Mabul, Pulau Kapalai, Pulau Bohey Dulang, dan Pulau Mataking.

Noorudin, 39, yang merupakan anak jati Semporna berkata industri pelancongan yang menjadi nadi ekonomi daerah seharusnya memberi manfaat optimum kepada penduduk tempatan, khususnya dalam menyediakan peluang pekerjaan kepada golongan belia.

“Ada keluhan daripada belia apabila peluang pekerjaan diisi oleh mereka yang bukan dari kalangan masyarakat setempat. Kita mahu supaya keutamaan diberikan kepada penduduk tempatan, terutamanya golongan belia,” katanya kepada Bernama.

Noorudin, yang juga ketua Pemuda GRS DUN Bugaya, berkata martabat dan kemampuan belia Semporna perlu diperkukuh agar mereka dapat bersaing dalam pasaran pekerjaan yang semakin mencabar.

Katanya, 50% penduduk Bugaya terdiri daripada golongan belia dan mereka sewajarnya diberi keutamaan mengisi tenaga kerja di daerah yang sentiasa menjadi tumpuan pelancong domestik dan antarabangsa itu.

Selain memberi tumpuan kepada sektor pelancongan, Noorudin juga berhasrat memajukan industri pertanian dan penternakan yang telah lama diceburi penduduk Bugaya, sekali gus membuka lebih banyak peluang pekerjaan dalam pelbagai bidang.

Beliau berkata, pelbagai bantuan dan inisiatif diwujudkan di bawah kerajaan Madani bagi membantu pekebun kecil dan penternak, yang mampu memberi manfaat langsung kepada penduduk Bugaya.

Sehubungan itu, Noorudin yakin penduduk Bugaya yang mahukan perubahan dan pembangunan berterusan akan memberi mandat kepadanya pada PRN Sabah.

DUN Bugaya mempunyai seramai 36,559 pengundi pada PRN dan merupakan satu daripada tiga DUN dalam Parlimen Semporna selain Sulabayan dan Senallang.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 29 Nov sebagai hari pengundian bagi PRN Sabah, manakala 25 Nov pengundian awal.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.