Hajiji mahu hubungan Sabah–Putrajaya dibina atas kebijaksanaan, bukan ketegangan

Hajiji mahu hubungan Sabah–Putrajaya dibina atas kebijaksanaan, bukan ketegangan

Pengerusi GRS berkata pembangunan negeri bergantung kerjasama matang dan stabil sambil mengingatkan konfrontasi hanya merugikan Sabah.

Datuk Seri Panglima Haji Hajiji bin Haji Noor
Hajiji Noor menyifatkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebagai lebih responsif terhadap keperluan Sabah.
KOTA KINABALU:
Hajiji Noor menekankan hubungan negeri–persekutuan harus dibina atas kebijaksanaan, kematangan dan tanggungjawab bersama, bukan ketegangan yang akhirnya merugikan rakyat Sabah.

Ketua menteri sementara berkata, sejarah politik negeri jelas menunjukkan apabila pentadbiran Sabah mengambil pendekatan bermusuhan dengan Putrajaya, hasilnya bukan kemenangan moral tetapi pembangunan yang tergendala dan rundingan tidak ke mana.

“Jika di Sabah ini dipimpin oleh satu parti yang mungkin mempunyai sifat yang tidak begitu ‘friendly’ dengan kerajaan persekutuan, apa yang kita dapat?” kata pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam temu bual FMT.

Beliau berkata, pengalaman pentadbiran terdahulu membuktikan kesannya nyata dan merugikan.

“Kalau kita gaduh dengan kerajaan persekutuan…ini berlaku dulu dan ianya tidak mendatangkan banyak faedah untuk negeri Sabah,” katanya.

Katanya, Sabah berhak menuntut hak bawah Perjanjian Malaysia 1963 tetapi harus melakukannya melalui saluran yang berhemah.

“Jangan kerana kita menuntut sesuatu, kita renggangkan, keruhkan hubungan kita dengan kerajaan persekutuan. Bagi saya itu tidak boleh. Kita mesti menjaga negara kita. Negara kita ialah negara Malaysia,” katanya.

Kerjasama matang buka banyak pintu

Hajiji berkata, kerjasama yang lebih harmoni dengan kerajaan pusat membolehkan banyak isu lama kembali dibincangkan secara serius, berbanding era di mana suara Sabah ‘disenyapkan begitu saja’.

Beliau menyifatkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebagai lebih responsif terhadap keperluan Sabah.

“Dia begitu prihatin terhadap Sabah dan saya yakin rakyat Sabah akan mengingati beliau sebagai seorang perdana menteri yang prihatin kepada Sabah,” katanya.

Katanya, dalam tempoh pentadbiran GRS banyak permohonan negeri yang sebelum ini terhenti akhirnya diberi perhatian semula.

“Isu ini ditimbulkan, dia tidak ada lagi…disenyapkan begitu saja. Jadi, ini perlu dihargai oleh rakyat negeri Sabah,” katanya.

Politik matang lebih penting daripada retorik

Hajiji berkata, beliau menolak pendekatan politik yang hanya menonjolkan kemarahan atau populisme jangka pendek tanpa mempertimbangkan implikasi jangka panjang terhadap Sabah.

“Kerajaan persekutuan mempunyai peranan lebih besar daripada kerajaan negeri. Kalau kita gaduh…kita pergi jumpa sana minta kelulusan, minta kerjasama, susahlah,” katanya.

Menurutnya, Sabah memerlukan politik yang membawa keputusan bukan ketegangan.

“Kita mahu kestabilan politik. Hubungan itu mesti dirapatkan.”

Beliau menegaskan, Sabah sebagai negeri besar dan secara geografi luas, amat memerlukan sokongan pusat bagi memastikan projek asas seperti air, jalan raya, jambatan luar bandar dan elektrik dapat dilaksanakan secara menyeluruh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.