Prasarana air, elektrik dan digital diberi keutamaan dalam manifesto GRS

Prasarana air, elektrik dan digital diberi keutamaan dalam manifesto GRS

Gabungan Rakyat Sabah juga mahu memperluaskan skim bantuan bulanan Sentuhan Kasih Rakyat.

hajiji noor
Pengerusi GRS Hajiji Noor (kanan) lancar manifesto yang menggariskan naik taraf bekalan air, penjanaan elektrik, ketersambungan digital, dan prasarana luar bandar.
KOTA KINABALU:
Gabungan Rakyat Sabah (GRS) melancarkan manifesto sempena pilihan raya, menegaskan komitmen pada pembangunan jangka panjang mencakupi prasarana air, elektrik, dan digital.

Manifesto yang dilancarkan oleh Pengerusi GRS Hajiji Noor itu juga mahu memperluaskan skim Sentuhan Kasih Rakyat (Syukur), yang menyediakan bantuan tunai RM300 setiap bulan.

Manifesto yang diuar-uarkan sebagai kesinambungan pada dasar-dasar pentadbiran GRS penggal lepas menyorot perhatian pada peningkatan hasil negeri, simpanan yang lebih kukuh, dan aliran masuk pelaburan yang mantap sebagai bukti momentum.

Hajiji berkata manifesto ini dibina atas empat rukun — Sabah Diutamakan (Sabah First), Sabah Melangkah Ke Hadapan (Sabah Forward), Sabah Maju Jaya (Sabah Prosper), dan Sabah Bersatu (Sabah United) — yang membentuk hala tuju dasar GRS untuk lima tahun akan datang, bawah kerangka pelan pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0.

“Kita lancarkan manifesto sebagai deklarasi aku janji, komitmen dan perancangan strategik kepada rakyat Sabah untuk tempoh 5 tahun yang akan datang.

“Kita akan menguasai semula kerajaan negeri. GRS bukan sahaja mampu mengekalkan kestabilan dan perpaduan tetapi GRS juga berupaya membawa perubahan dan khidmat,” katanya.

Selain program kebajikan yang diperluas, GRS komited pada pembaharuan fiskal, termasuk matlamat meningkatkan hasil negeri kepada RM10 bilion menjelang 2030, dan menubuhkan dana kekayaan berdaulat negeri yang pertama pada tahun depan.

Pembangunan membentuk sebahagian besar manifesto, dengan GRS menggariskan naik taraf bekalan air, penjanaan elektrik, ketersambungan digital, dan prasarana luar bandar.

Projek penting termasuk skim hidroelektrik dan bekalan air Ulu Padas; empangan Cinta Mata di Tawau; loji rawatan air yang diperluaskan di Telibong, Kogopon, dan Semporna; peningkatan kapasiti penjanaan kuasa; dan liputan Starlink yang lebih luas untuk daerah luar bandar.

Sokongan pendidikan juga akan diperluas melalui bantuan peralatan sekolah, subsidi yuran peperiksaan, peningkatan biasiswa negeri, bantuan komputer riba untuk pelajar B40, dan sumbangan simpanan untuk bayi baru lahir.

Inisiatif berfokuskan belia termasuk program keusahawanan, latihan inovasi dan kemahiran digital, platform pembangunan kepimpinan, dan Rumah Transit Belia SMJ — menyediakan perumahan sementara untuk graduan baharu yang mencari pekerjaan di bandar-bandar utama.

GRS juga mahu memperluaskan Rumah Mesra SMJ — yang telah menyiapkan lebih 7,000 unit setakat ini — dan memperkenalkan peruntukan baharu untuk pasangan muda yang berkahwin, dengan 10 unit bagi setiap kawasan diperuntukkan untuk pengantin baru bermula tahun depan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.