
Ketua PKR Sabah, Mustapha Sakmud, berkata cadangan itu akan dimasukkan dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) yang membuktikan komitmennya memenuhi tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Katanya, pendekatan itu telah dilaksanakan banyak negara malah diperkenalkan di negeri jiran dikenali Tabung Masa Depan Kekayaan Berdaulat Sarawak.
“Ini sebagai langkah ke depan jika sudah ada formula agihan dan dana dipersetujui, kita cadang tabung kedaulatan itu diwujudkan serta perlu dibentangkan di DUN.
“Kita mahu wakil rakyat dapat meneliti perancangan dan pengunaannya, perlu telus,” katanya dalam temu bual FMT.
Menurut Mustapha, tapisan dan semakan teliti di DUN itu dapat memastikan segala dana dibelanjakan sebaiknya dan tidak hanya menguntungkan kelompok tertentu.
“Di Sabah banyak telah disalurkan macam kes sebelum ini tetapi masalah seperti AJK (air, jalan dan karan (elektrik)) masih berlaku sampai sekarang.
“Inilah tugas calon PKR yang kita akan hantar ke DUN untuk menjadi pencetus kepada idea dan bawa agenda reformasi,” katanya.
Bulan lalu, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu mengesahkan semula hak perlembagaan Sabah untuk menerima 40% hasil baharu kerajaan persekutuan yang diperoleh dari negeri itu.
Isu tuntutan hasil itu mendorong Upko keluar daripada Pakatan Harapan, manakala Presidennya Ewon Benedick, meletakkan jawatan dalam Kabinet kerana tidak bersetuju dengan pendirian Jabatan Peguam Negara (AGC).
Selasa lalu, AGC menyatakan ia bercadang memfailkan rayuan berhubung apa yang didakwanya sebagai ‘kecacatan’ pada alasan penghakiman mahkamah.
Ewon berkata AGC mengabaikan asas sejarah pembentukan Malaysia dan menegaskan bahawa ‘rayuan tetap rayuan’, dan perkara itu mengukuhkan keputusannya meletak jawatan daripada Kabinet.
Namun, Mustapha berkata semakan AGC terhadap penghakiman itu dibuat untuk melindungi kerajaan persekutuan dan mengelakkan komplikasi pada masa akan datang.