Pandikar mahu tawan Pintasan sebelum tamat karier politik

Pandikar mahu tawan Pintasan sebelum tamat karier politik

Presiden Usno itu berkata kerusi Pintasan begitu signifikan dalam perjalanan politiknya, lebih-lebih lagi ketika usianya kini mencecah 70 tahun.

Pandikar Amin Mulia
Presiden Usno Pandikar Amin Mulia berdepan saingan 11 penjuru di DUN Pintasan pada PRN Sabah hujung bulan ini, termasuk pencabarnya Fairuz Renddan yang menewaskannya dengan majoriti 84 undi pada 2020. (Gambar fail)
KOTA KINABALU:
Presiden Usno, Pandikar Amin Mulia tekad menawan DUN Pintasan pada PRN Sabah hujung bulan ini, sebelum melabuhkan tirai empat dekad karier politiknya.

Menurutnya, kerusi di bawah Parlimen Kota Belud itu begitu bermakna dalam perjalanan politiknya yang penuh berwarna-warni.

“Jadi, sebelum saya menutup karier politik, saya mahu menang di Pintasan. Ia kawasan istimewa bagi saya,” kata bekas speaker Dewan Rakyat itu.

Bertanding atas tiket Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Pandikar berdepan saingan 11 penjuru, termasuk pencabarnya pada PRN lalu, Fairuz Renddan, yang menewaskannya dengan majoriti 84 undi pada 2020.

Fairuz yang bertanding calon bebas kali ini, tidak dicalonkan semula oleh GRS kerana gabungan itu memberi laluan kepada Pandikar yang mengetuai Usno, salah satu parti komponennya.

Pandikar pernah mewakili DUN Tempasuk, selain Parlimen Kota Belud. DUN Pintasan antara kawasan baharu diperkenalkan pada PRN 2020.

Ditanya sama ada ini penggal terakhir beliau di gelanggang pilihan raya, Pandikar secara terbuka tidak menolak kemungkinan itu.

“Boleh jadi ini kali terakhir. Jadi, sebelum saya menutup karier politik, saya mesti ambil Pintasan dahulu. ‘That’s personal for me’.”

Mengulas kedudukan GRS pada PRN Sabah kali ini, Pandikar berkata, gabungan itu masih berada di landasan kukuh untuk mempertahankan pentadbiran negeri.

Beliau percaya kejelasan hala tuju itu memberi kelebihan kepada GRS berbanding gabungan lain yang menurutnya belum menunjukkan kestabilan mahupun kepastian kepimpinan.

“GRS masih boleh kekal kerana kita mempunyai agenda politik yang jelas. Di luar sana, mereka belum tahu siapa bakal ketua menteri,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.