Makanan dikata tak sedap, lelaki tikam mati tukang masak

Makanan dikata tak sedap, lelaki tikam mati tukang masak

Tukang masak warga Myanmar maut, manakala suami dan rakannya cedera di badan.

handcuff
Ketua Polis Pulau Pinang Azizee Ismail, berkata tiga lelaki Myanmar ditahan termasuk suspek dan abangnya bagi membantu siasatan.
PETALING JAYA:
Makanan dihidangkan tidak sedap membawa kepada kematian tukang masak wanita yang ditikam pelanggan dipercayai mabuk, dalam kejadian di sebuah restoran di Lorong Bukit Juru, Bukit Mertajam.

Dalam kejadian 9 malam tadi, mangsa warga Myanmar berusia 40-an maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah, manakala suami dan rakannya yang juga rakyat Myanmar mengalami kecederaan di badan.

Difahamkan, kejadian itu berlaku apabila suspek juga warganegara sama dan beberapa rakan senegara tidak berpuas hati dengan makanan dihidangkan di restoran masakan Thai itu.

Semua lelaki yang terlibat bertengkar dengan mangsa dan suaminya yang juga berusia 40-an sebelum wanita itu mengarahkan mereka meninggalkan premis berkenaan dengan suspek kemudian menghubungi abangnya sebelum kembali ke restoran itu serta menikam mangsa dengan pisau sehingga mati.

Menurut Bernama, Ketua Polis Pulau Pinang Azizee Ismail, berkata pihaknya menahan tiga lelaki Myanmar termasuk suspek dan abangnya bagi membantu siasatan.

“Suspek dipercayai mabuk ketika kejadian dan siasatan lanjut kini dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat manakala dua lagi mangsa yang cedera turut dirawat di hospital berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.