
Namun, Kementerian Kesihatan melaksanakan inisiatif ‘Healthier Dining Programme’ (HDP) sejak 2021, menyasarkan rangkaian restoran dengan menu seragam di semua cawangan, termasuk restoran francais, makanan segera dan syarikat persendirian.
“HDP merupakan kesinambungan kepada program ‘Healthier Choice Logo’ (HCL) yang memberi pengiktirafan kepada produk makanan berbungkus yang lebih sihat,” kata Menteri Dzulkefly Ahmad.
Melalui HDP, penilaian merangkumi pilihan makanan dan minuman yang disediakan secara terus di premis atau dibancuh, dan logo diberikan kepada hidangan yang memenuhi kriteria pemakanan sihat yang telah ditetapkan, katanya.
“Pemaparan logo ini bertujuan untuk memudahkan pelanggan membuat pilihan makanan dan minuman yang lebih sihat ketika makan di luar,” katanya.
Sehingga September 2025, sebanyak 12 restoran menyertai inisiatif ini serta melibatkan 147 menu makanan dan minuman yang menerima logo HDP.
“Inisiatif ini dijangka terus berkembang,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, kepada pertanyaan Lee Chean Chung (PH-Petaling Jaya).
Lee meminta menteri kesihatan menyatakan sama ada langkah kenaikan cukai SSB akan turut diperluas daripada ‘ready to drink’ kepada minuman yang terus dibuat di kafe atau kedai makan.
Buat masa ini, kerajaan telah memperkenalkan cukai terhadap minuman bergula bagi tiga kategori minuman sedia diminum, iaitu minuman berkarbonat dan tidak berkarbonat, minuman berasaskan susu serta jus buah dan sayur yang mengandungi kandungan gula melebihi nilai ambang yang ditetapkan.
Sebelum ini, Persatuan Perubatan Malaysia menyeru kerajaan menguatkuasakan pengurangan berperingkat 20–30% kandungan gula tambahan dalam makanan dan minuman terproses, dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang, dengan amaran bahawa Malaysia menghadapi krisis diabetes.
Presiden Dr Thirunavukarasu Rajoo berkata sasaran itu mampu dicapai dan selaras amalan global, serta perlu disokong oleh pengembangan cukai gula, dan pelabelan pemakanan yang jelas pada bahagian depan bungkusan.
Seruan itu menyusuli laporan Star yang menyatakan Malaysia kini berada di kedudukan ke-13 di dunia dan tertinggi di Asia Tenggara bagi prevalens diabetes, dengan 21% rakyat atau seorang daripada lima orang dewasa hidup dengan penyakit tersebut.